Jaminan kerajaan kepada Tabung Haji akan terus dipertahankan - Zulkifli
Fareez Azman
Januari 15, 2021 18:20 MYT
Januari 15, 2021 18:20 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegaskan jaminan kerajaan kepada lebih 9 juta pendeposit tetap Tabung Haji (TH) terus dipertahankan.
Jelasnya, perbincangan antara pihaknya dan Menteri Kewangan sebelum ini hanyalah mengenai isu penstrukturan semula yang bakal membawa keberhasilan yang tinggi kepada Tabung Haji.
"Saya terpanggil untuk memberi penjelasan terhadap isu yang berlegar berkenaan perbincangan saya dan Menteri Kewangan berkenaan Tabung Haji semalam. Apa yang tertera pada tajuk ini adalah tidak benar sama sekali. Ia sama sekali tidak menggambarkan pendirian Kerajaan dalam hal tersebut.
"Perbincangan semalam hanya seputar isu-isu penstrukturan semula yang bakal membawa keberhasilan yang tinggi khususnya bagi manfaat para pendeposit Tabung Haji.
"Kerisauan yang dibangkitkan oleh segelintir pihak berkenaan adalah diluar fokus perbincangan semalam," katanya dalam kenyataan dimuatnaik dalam Facebook rasminya pada Jumaat.
Tambah Zulkifli lagi, Tabung Haji telah menunjukkan prestasi cemerlang dan kestabilan tadbir urus sejak peralihan kerajaan.
"Ini dapat dibuktikan antaranya menerusi pembelian Menara VSQ1 daripada Bukit Damansara Development Sdn. Bhd, dan jumlah deposit sebanyak RM75.9 bilion sehingga 30 Disember 2020.
"Saya ingin menegaskan bahawa jaminan kerajaan kepada lebih 9 juta pendeposit tetap terus dipertahankan. Tabung Haji adalah kebanggaan dan harapan umat Islam di Malaysia," katanya lagi.
Malah tambah Zulkifli lagi, Tabung Haji berada di landasan yang betul dan akan terus menapak ke hadapan demi umat Islam di negara ini.
Terdahulu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menentang sekeras-kerasnya usaha kerajaan menyemak semula ketetapan jaminan kerajaan termasuk pindaan ke atas Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).
Menurutnya, tindakan itu hanya akan menyebabkan keistimewaan Tabung Haji (TH) yang bernilai buat umat Islam sejak ditubuhkan tahun 1963 itu hilang.
#Tabung Haji
#Islam
#Menteri Hal Ehwal Islam
#kerajaan
#Jaminan Kerajaan
#Akta 535
#TH
#pendeposit
#tabung
#Zulkifli Mohamad Al-Bakri