Jamil Salleh dilantik KSU Kementerian Belia dan Sukan

Bernama
Jun 10, 2013 11:10 MYT
Timbalan Ketua Setiausaha (Antarabangsa dan Pengurusan) Kementerian Belia dan Sukan Datuk Jamil Salleh dilantik sebagai ketua setiausaha baharu kementerian itu berkuat kuasa Rabu ini.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata dengan kelebihan yang ada pada Jamil, beliau percaya Jamil mampu melaksanakan tangunggjawab yang diberikan itu dengan penuh integriti dan profesional.
"Saya percaya pengetahuan, pengalaman serta kredibiliti yang dimiliki oleh Datuk Jamil akan membolehkan beliau menerajui Kementerian Belia dan Sukan dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti dan profesional dalam usaha memenuhi aspirasi kerajaan ke arah mewujudkan golongan belia yang patriotik, bersatu padu, berdisiplin dan berbudaya sukan demi perpaduan dan pembangunan negara," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Jamil, 54, merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Antropologi dan Sosiologi dari Universiti Malaya dan menyertai Perkhidmatan Awam sebagai Pegawai Belia dan Sukan pada 22 Jun 1983 sebelum dilantik sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 13 Jan 1986.
Sepanjang perkhidmatannya, beliau berpengalaman dalam bidang perancangan, pengurusan dan pentadbiran kewangan, sumber manusia dan perolehan.
Jamil juga adalah Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia dan Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan.
#Ali Hamsa #Jamil Salleh #Kementerian Belia dan Sukan Datuk Jamil Salleh
;