Jamil Khir nafi 'halalkan' Raja Bomoh

Astro Awani
Mac 21, 2017 21:56 MYT
Datuk Ibrahim Mat Zin atau dikenali sebagai Raja Bomoh akan dipanggil bagi menjalankan siasatan dan memintanya menjelaskan ritual yang dijalankan itu.
“Hentikan spekulasi saya benarkan bomoh”, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Beliau berkata, sudah jelas, ritual individu yang menggelarkan dirinya “Raja Bomoh” atau nama sebenarnya Datuk Ibrahim Mat Zin adalah bercanggah dengan syariah Islam.
Menyebut beberapa kenyataan daripada laman sosial yang mengatakan beliau menghalalkan cara Raja Bomoh berhubung tindakannya yang kononnya “memagar” Malaysia daripada ancaman negara asing khususnya Korea Utara, Jamil Khir berkata, istilah “bomoh” yang dibenarkan adalah yang dijalankan secara tradisional yang tidak bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah.
Memberi contoh, beliau berkata, mengikut tradisi rawatan masyarakat orang kampung seperti “bomoh tradisional” yang pakar dalam urutan tradisional itu dibenarkan, asalkan ianya tidak bercanggah dengan syariat Islam.
Namun, bagi ritual yang dipamerkan Raja Bomoh itu tentunya salah dan umat Islam di negara ini mempunyai garis panduan agama yang perlu diikuti.
“Yang saya sebut adalah perubatan melalui bomoh di kampung-kampung yang tidak menyalahi garis panduan Islam.
“Bomoh yang tidak mengikut landasan Islam tetap tak dibenarkan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan “Raja Bomoh yang menjadi tular di laman sosial baru-baru ini, selepas mengadakan mesyuarat induk yang dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha.
Dalam pada itu katanya, pihaknya akan mengambil tindakan dengan memanggil Raja Bomoh bagi menjalankan siasatan dan memintanya menjelaskan ritual yang dijalankan itu.
Terdahulu, kerajaan Perak mewartakan fatwa mengenai pengharaman upacara perbomohan Ibrahim Mat Zin di bawah seksyen 36 dan seksyen 37 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 pada 3 Ogos 2015.
Video dan pelbagai rakaman gambar aksi terbaru 'Raja Bomoh'yang juga pengasas Persatuan Seni Silat Gayung Ghaib Malaysia menjadi tular di media sosial baru-baru ini.
Aksi 'Raja Bomoh' itu dipercayai dilakukan rentetan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara tegang berikutan pembunuhan Kim Jong-Nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2), 13 Feb lepas.
#Datuk Seri Jamil Khir Baharom. #Menteri di Jabatan Perdana Menteri #Raja Bomoh
;