Jamil Khir minta semua rakyat patuh titah Agong
Astro Awani
Januari 21, 2014 16:42 MYT
Januari 21, 2014 16:42 MYT
Semua pihak diminta menjunjung titah ucapan Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah mengenai hak eksklusif penggunaan kalimah Allah oleh orang Islam serta tidak mempertikaikannya lagi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata isu penggunaan kalimah Allah itu tidak harus dijadikan isu lagi sehingga boleh menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang agama di negara ini.
"Saya melihat titah Tuanku sebagai hal yang selari dengan Perlembagaan Malaysia dan semua pihak perlu patuh dan akur dengan titah Tuanku.
"Kita harap semua pihak menjunjung titah Tuanku dalam isu ini demi menjaga keharmonian dan sensitiviti masyarakat di seluruh negara," katanya pada sidang media selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yang Kao, Guar Chempedak, di sini pada Isnin.
Beliau pada masa sama meminta umat Islam agar bersatu tanpa mengira latar belakang untuk mempertahankan kalimah Allah. Jamil Khir mengulas titah ucapan Tuanku Abdul Halim sempena hari keputeraan baginda yang ke-86 di Istana Anak Bukit, Alor Setar pada Ahad. Titah ucapan baginda dibacakan oleh Pengerusi Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah.
Dalam ucapannya, Tuanku Abdul Halim bertitah ketetapan bahawa kalimah Allah adalah hak eksklusif umat Islam telah dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1986 dan ia perlu dihormati oleh semua pihak.
Isu penggunaan kalimah Allah ini berbangkit selepas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas Bible dalam bahasa Melayu dan Iban daripada Gereja Bible Society of Malaysia di Petaling Jaya pada 2 Januari lepas.
Ia adalah rentetan daripada kes mahkamah antara akhbar mingguan Katolik, Herald dengan Kementerian Dalam Negeri dan beberapa pihak lain berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan itu.
Mahkamah Rayuan pada Oktober tahun lalu memutuskan melarang akhbar mingguan berkenaan menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan bahasa Melayu.
Keputusan itu mencetuskan polemik kerana kabinet pada April 2011 membuat jaminan 10 perkara untuk menyelesaikan isu penggunaan kalimah Allah dalam Bible di Sabah dan Sarawak yang antara lain tidak melarang penggunaan Bible dalam bahasa Melayu yang menggunakan kalimah Allah.
Laporan menyebut isu berkenaan telah sekali lagi dibincangkan oleh kabinet dalam mesyuarat mingguannya pada 8 Januari dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan akan membuat pengumuman mengenainya tidak lama lagi.