Jamil Khir: MABIMS boleh jadi benteng hadapi serangan pemikiran

Bernama
Oktober 30, 2013 11:40 MYT
Hubungan dan kerjasama erat yang terjalin antara negara-negara anggota Pertemuan Khas Tidak Rasmi Menteri-menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS), mampu menjadi benteng kukuh dalam menghadapi isu dan cabaran yang mengancam umat Islam di Nusantara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata selain isu liberalisme dan pluralisme umat Islam Nusantara turut berdepan serangan pemikiran yang boleh membawa perpecahan.
"Di rantau kita, Islam tidak kurang hebatnya diancam walaupun bukan dalam bentuk peperangan, isu-isu yang dihadapi perlu ditangani dengan serius agar kedaulatan Islam teguh dan terpelihara," katanya semasa pelancaran Alumni Bas MABIMS sempena Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan (SOM) ke-38 di sini, malam tadi.
Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha.
Pertemuan MABIMS diadakan setiap dua tahun dengan Thailand dan Filipina dijemput sebagai pemerhati.
Program Bas Belia MABIMS dilaksanakan sejak 2009 menunjukkan tanda positif apabila pesertanya berjaya membentuk rangkaian hubungan persaudaraan Nusantara dalam melaksanakan misi dakwah serta perkongsian ilmu dengan masyarakat, kata Jamil Khir.
Menurutnya projek bakti sosial pertama dilaksanakan MABIMS pada 2009 bersama masyarakat Orang Asli di Malaysia diikuti projek sekolah agama dasar di Provinsi Pontianak, Indonesia dan perkampungan saudara baru di Kampung Buluh, Brunei Darussalam.
Projek ini kemudian diteruskan pada 2011 di kawasan bencana letusan gunung Merapi, Indonesia, seterusnya pada 2012 di Kampung Tradisi, Terengganu dan tahun ini diadakan di Pulau Langkawi.
"Peranan alumni ini diharap dapat merealisasikan hasrat para menteri dan pegawai kanan MABIMS untuk lebih dikenali di kalangan negara Islam dalam usaha dakwah dan sumbangan ke arah wahdattul ummah," tambahnya.
Seramai 40 peserta terdiri daripada 10 orang dari setiap negara mengikuti Bas Belia MABIMS bermula 25 Okt lepas dari Bangi ke Alor Setar sebelum berakhir di Langkawi dengan matlamat berkongsi ilmu bersama masyarakat di samping memperkenalkan Malaysia, sebagai negara mesra pelancong.
Bercakap kepada pemberita kemudian, Othman berkata pertemuan SOM di Langkawi membincangkan tujuh bidang antaranya modul insan Islam, dakwah dan peranan belia dalam meningkatkan keharmonian masyarakat Islam di Nusantara.
#Datuk Seri Jamil Khir Baharom #MABIMS #nusantara
;