Jamil Khir Baharom yakin tiada saingan sengit
Astro Awani
September 28, 2013 18:41 MYT
September 28, 2013 18:41 MYT
Pemilihan UMNO Bahagian Jerai tidak akan menjejaskan Pilihanraya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Jaminan itu diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga ahli Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bagi mengulas ura-ura wujudnya pertandingan sengit dalam pemilihan kali ini yang akan menjejaskan PRK berkenaan.
Malah proses pemilihan ini akan menjadikan UMNO semakin kuat dan matang dalam berpolitik kerana ahlinya sentiasa berada dalam satu keluarga dan tidak sepatutnya berlaku perpecahan.
Jamil Khir percaya hubungan baik yang sedia terjalin tidak akan mewujudkan kumpulan atau puak-puak dalam UMNO yang mungkin menjejaskan UMNO pada PRK itu nanti.
Tanpa wujudnya puak-puak dalam UMNO, pemilihan dapat dilakukan penuh berhemah dan harmoni seterusnya mempersiapkan diri untuk menghadapi PRK.
Neliau berharap semua ahli UMNO bahagian itu bersedia untuk menghadapi PRK akan datang bagi mengisi kekosongan kerusi DUN Sungai Limau yang kosong selepas penyandangnya Tan Sri Azizan Abdul Razak yang juga bekas Menteri Besar Kedah meninggal dunia Khamis lalu.
Allahyarham Tan Sri Azizan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar pada berikutan jangkitan kuman dan kegagalan organ dalaman yang pelbagai, selepas empat bulan mengalami masalah kesihatan yang serius.
Allahyarham mempertahankan kerusi DUN Sungai Limau yang dimenanginya sejak 1995 pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Mei lalu selepas menewaskan sepupunya Fazillah Mohd Ali dari Barisan Nasional dengan majoriti 2,774 undi.