Jamil Khir: Al-Arqam sudah tiada
Astro Awani
Mei 21, 2013 07:44 MYT
Mei 21, 2013 07:44 MYT
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menjelaskan gerakan Al-Arqam di negara ini sudah tidak wujud lagi biarpun terdapat saki baki pengikutnya yang ada cuba menghidupkan gerakan tersebut di luar negara.
Katanya dengan penahanan balu pengasas Al-Arqam, Hatija Am atau lebih dikenali sebagai Ummu Jah baru-baru ini ianya dianggap sebagai kes yang terakhir melibatkan pertubuhan yang diharamkan itu.
"Kes melibatkan Ummu Jah itu merupakan yang terakhir. Dia aktif di luar negara dan bila berlaku tangkapan oleh pihak Araba Saudi makan bila dibawa balik Maik Selangor ada asas untuk mengambil tindakan untuk bawa ke mahkamah syariah," kata kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob di Kota Bharu pada selasa.
Beliau menjelaskan Ummu Jah bersama 10 pengikut Al-Arqam yang lain ditahan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 13 Mei lepas dan kini kesemua mereka menunggu proses perbicaraan di mahkamah syariah Selangor.
Sementera itu, mengulas pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan itu, Jamil Khir menjelaskan mereka membincangkan mengenai penganjuran tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan pada 10 hingga 14 Jun depan dimana kali ini Kelantan dipilih sebagai tuan rumah.
Qariah dari Kelantan dijangka akan menyertai tilawah kali ini dan hadiah sebuah kereta Proton Preve serta wang tunia disediakan kepada johan.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Jamil Khir menjelaskan kerajaan persekutuan memperuntukkan RM69 juta tahun ini bagi menaik taraf pendidikan sekolah agama bantuan kerajaan dan sekolah agama rakyat serta menampung perbelanjaan elaun iman dan bilal di seluruh Kelantan.