James Lee bergerak ke kem satu Everest esok
Bernama
April 25, 2017 23:43 MYT
April 25, 2017 23:43 MYT
James Lee Chong Meng, warga Malaysia tertua yang cuba menawan puncak Gunung Everest, dijangka akan meneruskan pendakiannya ke kem satu, dua dan tiga esok.
Pendaki berusia 69 tahun itu dan pasukannya yang tiba di Kem Induk Everest (EBC) pada 14 April lepas akan bergerak dari EBC yang berada pada ketinggian 5,364 meter dari paras laut, ke kem-kem berkenaan pada 2 pagi esok (waktu tempatan Nepal).
"Cuaca di sini kelihatan cerah dan kami biarkan salji lembut ini turun dahulu jadi kami mempunyai banyak makanan mini untuk dikeringkan.
"Latihan pula akan mengambil masa kira-kira enam hari. Enam hari juga diperlukan untuk kembali ke kem induk," katanya ketika dihubungi Bernama, rakan media pendaki tertua negara yang dalam misi menawan puncak tertinggi di dunia itu, hari ini.
Lee berkata pada masa ini, beliau dan pasukannya sedang duduk di luar kem induk itu menikmati udara segar dan cuaca baik.
Lee dan pasukannya tiba di Kathmandu pada 1 April lepas.
Selain Lee, turut menyertai beliau ialah Eugene Kwan Jyh Sin, 47, Teng Hee Weng, 48, Chong Nyuk Kooi, 49, dan Berdych Tan Teck Chai serta Jack Oh Jin Heng, masing-masing berusia 32 tahun.
Mereka mengiringi Lee ke Kem Induk Everest sebelum beliau meneruskan pendakiannya ke puncak gunung itu dalam ekspedisi yang dianjurkan Lions Club of Port Dickson Pantai.
Pada Mei tahun lepas, Lee terpaksa membatalkan peringkat akhir pendakiannya ke puncak Gunung Everest setelah tiba di Kem III pada ketinggian 7,200 meter kerana cuaca buruk. Ketinggian Gunung Everest ialah 8,848 meter. -- BERNAMA