James Chin: Masalah institusi dan struktur wujud pada setiap PRU

T K Letchumy Tamboo
Mei 29, 2013 08:29 MYT
Agenda rekonsiliasi nasional kerajaan Barisan Nasional untuk memulihkan hubungan kaum dan politik yang berlaku susulan berlangsungnya pilihan raya umum ke 13, dianggap tidak diperlukan ketika ini.
Itu pandangan Profesor Dr James Chin dari Institute of South East Asian Studies Singapura yang berkata masalah institusi dan struktur wujud sememangnya wujud pada setiap pilihan raya umum.
“Disebabkan itu, masalah dan jalan penyelesaiannya adalah sama pada setiap pilihan raya umum.
"Masalah institusi termasuk parti-parti politik berasaskan etnik, pentadbiran berpusat dan dasar-dasar awam yang berat sebelah terhadap agama, manakala masalah struktur termasuklah tiada media yang bebas.
"Penyelesaiannya adalah dengan mewujudkan keterbukaan kepada sistem politik sedia ada, membolehkan institusi yang bebas, memastikan media yang bebas dan menangani gejala rasuah dan menghapukan sifat perkauman,” katanya pada perbincangan interaktif mengenai rundingan untuk membangunkan agenda rekonsiliasi Nasional di PJ Hilton pada Selasa.
James berkata walaupun masalah serta penyelesaiannya adalah sama pada setiap pilihan raya umum, tiada apa-apa yang dapat diubah kerana tiada kesungguhan politik dan pengaruh masyarakat sivil yang lemah.
“Perkara yang paling penting yang boleh dilakukan sekarang ialah untuk mewujudkan perpaduan di kalangan masyarakat sivil dan mendapatkan kedua-dua pihak politik untuk mendengar suara kita,” katanya di perbincangan yang dianjurkan oleh Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia dan Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional Jabatan Perdana Menteri.
Sementara itu, Profesor Terence Gomez dari Universiti Malaya membincangkan trend pilihan raya umum lalu serta hubungan di antara negara(kerajaan) dan masyarakat.
“Sekarang wujud masalah dimana negara atau kerajaan bersaing dengan pandangan masyarakat dimana masyarakat sudah pun maju ke hadapan tetapi negara atau kerajaan masih kekal di tempat yang sama.
“Untuk mengatasi masalah ini, harus ada perubahan di Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Sekuriti untuk membendung rasuah.
“Suruhanjaya Pilihan Raya pula harus bebas dan politik wang perlu dihapuskan,” katanya.
Perbincangan tersebut adalah hasil analisis keputusan PRU-13 oleh institusi akademik dan masyarakat sivil.
Kumpulan itu juga berpendapat untuk memperbaiki hubungan kaum tumpuan harus diberikan kepada kemakmuran, keharmonian, kebahagiaan dan kualiti hidup tanpa mengira etnik, umur, jantina atau lokasi selain perlu diberi peluang yang sama untuk menikmati kemakmuran, keharmonian, kebahagiaan dan kualiti hidup.
#Dr James Chin #rekonsiliasi nasional #Terence Gomez #Universiti Kebangsaan Malaysia
;