Jambatan Sungai Pulai jadikan Pontian sebagai hab sosioekonomi baharu - MB Johor
Bernama
Januari 19, 2023 14:26 MYT
Januari 19, 2023 14:26 MYT
ISKANDAR PUTERI: Pembukaan Jambatan Sungai Pulai yang menghubungkan Gelang Patah ke Tanjung Bin, Pontian mulai petang ini dijangka dapat melonjakkan Pontian sebagai hab sosioekonomi baharu sekali gus menjadi destinasi utama kepada pelaburan asing.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pembinaan infrastruktur sepanjang 7.5 kilometer merentasi Sungai Pulai itu menelan belanja kira-kira sebanyak RM800 juta, ia adalah laluan terus dari Pelabuhan Tanjung Pelepas ke Tanjung Bin, memendekkan masa perjalanan daripada lebih satu jam dari Pelabuhan Tanjung Pelepas ke Kukup, Pontian kepada hanya 30 minit.
Beliau berkata pembinaan jambatan dan jalan yang dilengkapi dengan laluan dua hala, dua lorong serta mempunyai kelegaan navigasi (had ketinggian) untuk laluan kapal dengan ketinggian 25 meter dan lebar 100 meter itu akan turut memberi kesan ekonomi positif bagi daerah Pontian dan Johor Bahru.
"Ia akan membawa pelbagai peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi, meningkatkan nilai hartanah serta menggalakkan pembangunan kawasan-kawasan setempat dan menggalakkan industri pelancongan terutamanya ekopelancongan di Tanjung Piai dan Kukup dengan membawa masuk pelancong dari Singapura.
"Sememangnya kita sudah lama menantikan kemudahan infrastruktur sebegini yang akan dapat menyokong, memudah dan memperkasakan lagi sistem pengangkutan jalan di negeri ini," katanya ketika berucap pada majlis perasmian pembukaan jambatan tersebut di sini, hari ini.
Turut hadir bekas Menteri Besar Johor dan Ahli Parlimen Simpang Renggam Datuk Seri Ir Hasni Mohamad, Ahli Parlimen Tanjung Piai Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng serta Pengerusi Seaport Worldwide Sdn Bhd yang juga Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Bhd Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh.
Sementara itu, Che Khalib berkata projek jambatan itu yang mula dibina pada November 2017 itu dimajukan oleh Seaport Worldwide, ahli Kumpulan MMC melalui usahasama awam-swasta bertujuan untuk meningkatkan keselesaan masyarakat sekitar.
"Lokasi pembinaan jambatan ini adalah sangat tepat untuk memudahkan pergerakan untuk antara kedua-dua daerah yang saling berhubung kait dari segi sosio dan ekonomi rakyat selatan Johor.
"Pembukaan jambatan ini mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas terutamanya pada waktu puncak dan musim perayaan," katanya.
Jambatan tersebut yang akan dibuka untuk orang awam mulai 6 petang ini, ia memendekkan masa perjalanan kepada kira-kira 3,000 kenderaan setiap jam pada waktu puncak.
-- BERNAMA