Jambatan Sungai Enggor runtuh, rutin harian 5,000 penduduk terjejas

Amirrul Rabbani
Mei 3, 2023 14:53 MYT
Runtuhan pada sebahagian jambatan sepanjang 13 meter itu telah menyebabkan aktiviti rutin penduduk terjejas. - Foto Astro AWANI
SUNGAI SIPUT: Jambatan menyeberangi Sungai Enggor dekat sini, yang menjadi laluan utama kepada 5,000 penduduk di sekitar Karai runtuh akibat rebakan tanah yang berpunca daripada aliran air sungai deras susulan hujan lebat sejak seminggu lalu.
Runtuhan pada sebahagian jambatan sepanjang 13 meter itu telah menyebabkan aktiviti rutin penduduk di beberapa kampung di situ antaranya Kampung Jawang, Kampung Loh dan sebagainya terjejas pada Rabu.
Menurut penduduk, Rafli Md Nor, 50, kejadian itu juga telah mengakibatkan gangguan bekalan air terhadap penduduk setempat yang berlarutan sejak malam tadi.
“Rebakan jambatan ini telah mengakibatkan dua masalah berlaku, yang pertama kemudahan asas terjejas (iaitu dari segi infrastruktur jalan). Kedua, sistem saluran sumber air bersih terganggu yang mana kejadian itu mengakibatkan paip air bocor.
“Setakat ini bekalan air bersih masih belum ada, dan mungkin kerja-kerja baik pulih sedang dijalankan Lembaga Air Perak (LAP),” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, pada Rabu.
Menurutnya ketika ini penduduk di sekitar kini terpaksa menggunakan laluan alternatif di Kampung Loh yang mana ia boleh dilalui kenderaan ringan sejauh 4 kilometer (km) dari Karai.
Katanya runtuhan jambatan akibat rebakan tanah itu telah berlaku kali ketiga dalam tempoh 20 tahun sejak ia dibina sekitar tahun 1900.
Justeru beliau berharap pihak berwajib dapat segera menyelesaikan masalah berkenaan dengan menaik taraf jambatan yang hampir sama usianya dengan Jambatan Victoria yang terletak kira-kira 1 km dari situ.
Sementara itu, penduduk Ahmad Qarib Khairuddin, 54, juga berharap runtuhan jambatan akibat rebakan tanah itu dapat diselesaikan segera kerana ia menjejaskan rutin harian ramai penduduk.
“Jadi memang kami sebagai penduduk memang berharap kalau boleh dipercepatkan pembinaan jambatan dan juga fasiliti yang telah rosak ini ia melibatkan banyak kampung,” katanya lagi.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan berkata, laluan jambatan itu akan ditutup selama lapan bulan bagi kerja-kerja pembaikan dilakukan.
"Proses ini akan dilakukan secepat mungkin dan buat masa ini, Bahagian Teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) akan bermesyuarat membincangkan isu ini kerana melibatkan satu peruntukan yang besar," katanya.
Dalam pada itu LAP dalam kenyataan di Facebook memaklumkan, kerja-kerja baik pulih sedang dilakukan di lokasi kejadian dan gangguan berlaku sehingga kerja pembaikan selesai.
Ia melibatkan paip di kawasan-kawasan seperti Pekan Karai, Kampung Loh, Bendang Sungai, Kampung Kapur, Kampung Periang dan sekitarnya.
#jambatan runtuh #Sungai Enggor #Sungai Siput #hujan lebat
;