Jambatan Sultan Yusuf ditutup sementara
Abd Razak Mohd Ali
Ogos 28, 2017 15:18 MYT
Ogos 28, 2017 15:18 MYT
Jambatan Sultan Yusuf di Teluk Intan ditutup kepada semua kenderaan sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, penutupan itu dibuat kerana kerja-kerja penyelenggaraan komponen jambatan masih lagi diteruskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama pihak kontraktor.
Menurut beliau, papan tanda jalan alternatif telah diletakkan bermula dari Taman Desa Aman (Teluk Intan FT005) manakala dari Sitiawan akan diletakkan di persimpangan Felcra Changkat Lada (A266)
Sehubungan itu, beliau meminta pengguna supaya terus bersabar dan mematuhi papan tanda arah dan keselamatan yang telah disediakan di jalan-jalan yang terlibat.
“Kesulitan pada hari ini untuk kesenangan pada masa depan kita semua. Komitmen dan kerjasama anda amatlah kami hargai serta kemaafan dipohon dari kami atas perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Zainol dalam satu kenyataan berkata, jambatan itu hanya dibuka kepada kenderaan ringan dan ditutup kepada kenderaan berat melebihi dua tan.