Jambatan runtuh akibat banjir, penduduk bergadai nyawa guna rakit buluh
Muhafandi Muhamad
Januari 14, 2022 11:21 MYT
Januari 14, 2022 11:21 MYT
GUA MUSANG: Lebih 5,000 masyarakat Orang Asli di Pos Simpor dan Pos Gob di Gua Musang, Kelantan bergadai nyawa menaiki rakit buluh untuk ke bandar berikutan ketiadaan jambatan untuk kegunaan mereka.
Sejak sebulan lalu, jambatan di Sungai Perias runtuh selepas dibawa arus ketika bencana banjir.
Menurut penduduk Orang Asli, mereka bergotong-royong membina rakit bagi kemudahan mereka berulang-alik.
Rakit yang dibina menggunakan buluh, kayu hutan dan tong plastik itu boleh memuatkan motosikal mereka.
Menurut penduduk, Jasmi Abus, sejak menggunakan rakit tersebut, dua motosikal penduduk telah terjatuh ke dalam sungai.
"Hari pertama masa bawa satu motosikal jatuh dalam sungai ni. Mestilah banyak berlaku, sudah dua biji motosikal terjatuh ke dalam sungai.
"Kita takutlah nanti sebab kita ada bawa budak, takut wayar putus ke apa," katanya.
Penghulu Kampung Pos Tohoi, Zainal Chali berkata, penduduk mengharapkan jambatan baharu dapat dibina dengan segera.
"Penduduk kampung telah mengharungi detik cemas dan bahayalah ketika mereka mengharungi sungai dengan rakit.
"Memang sangat berbahaya dan berisiko dan kita harap keadaan ini disegerakan pembinaannya supaya keadaan lebih terjamin kepada mereka sekiranya ada jambatan baru yang akan dibina nanti," katanya.
Bagi seorang lagi penduduk, Nordi Baharom, ketidaan jambatan menyukarkan pelajar untuk pergi ke sekolah.
"Kita tahu jambatan mereka terputus akibat banjir baru-baru ini jadi murid-murid, anak-anak mereka nak keluar ke sekolah itu memang susahlah kali ni.
"Jadi kita harap pihak atasan boleh membantu jambatan itu boleh siapakan dalam sebulan dua," katanya.
Sebelum ini, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dalam proses memasang jambatan bailey untuk kemudahan lebih 5,000 penduduk kampung Orang Asli yang terputus hubungan di kawasan itu.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah bersetuju untuk membantu membina jambatan bagi kemudahan komuniti Orang Asli suku kaum Temiar itu.