Jambatan Pulau Pinang sesak teruk akibat kemalangan

Bernama
Januari 29, 2014 14:05 MYT
Ratusan pengguna jalan raya yang melalui Jambatan Pulau Pinang dari Seberang Perai menghala ke bahagian pulau terperangkap dalam kesesakan teruk akibat berlaku kemalangan yang melibatkan dua buah kereta pagi tadi.
Jurucakap Penang Bridge Sdn Bhd berkata kemalangan berlaku di lorong kiri di Km 4.8 pada pukul 8.15 pagi.
"Ia tidak melibatkan kecederaan serius, bagaimanapun menyebabkan kesesakan teruk berikutan waktu puncak ketika orang ramai mahu ke tempat kerja.
"Kami berusaha mengalihkan kenderaan terbabit bagi membolehkan lalu lintas bergerak lancar namun sikap pengguna yang memperlahankan kenderaan untuk melihat kemalangan itu memburukkan lagi keadaan," katanya.
Kedua-dua kenderaan terlibat berjaya dialihkan oleh trak penunda kira-kira sejam selepas kemalangan.
Tinjaun Bernama mendapati kesesakan berlaku dari susur masuk ke Permatang Pauh hingga tempat kejadian iaitu sejauh kira-kira 10 kilometer.
#Jambatan Pulau Pinang #kemalangan #kereta #kesesakan teruk #Penang Bridge Sdn Bhd #Seberang Perai #terperangkap
;