Jambatan Pulau Pinang, kedua ditutup 28 Julai
Bernama
Julai 18, 2024 18:40 MYT
Julai 18, 2024 18:40 MYT
GEORGE TOWN: Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah akan ditutup secara berperingkat pada 28 Julai ini bagi memberi laluan kepada acara 'Penang Fellowship Ride Bridge to Bridge 2024'.
Ringkasan AI
- Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah akan ditutup secara berperingkat pada 28 Julai untuk acara 'Penang Fellowship Ride Bridge to Bridge 2024'.
- Jambatan Pulau Pinang akan ditutup dari 6.30 pagi hingga 9 pagi, manakala Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dari 9 pagi hingga 12 tengah hari.
- Acara kayuhan basikal sejauh 66 kilometer ini bermula dan tamat di Tapak Pesta Sungai Nibong dan melibatkan 2,343 peserta termasuk Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.
Pengerusi Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen berkata Jambatan Pulau Pinang bagi laluan dari bahagian pulau ke Perai akan ditutup bermula 6.30 pagi hingga 9 pagi, manakala Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dari arah Batu Kawan ke Batu Maung pula ditutup dari 9 pagi hingga 12 tengah hari.
"Acara kayuhan basikal itu akan bermula dan tamat di Tapak Pesta Sungai Nibong di sini dan beberapa jalan terlibat juga akan ditutup secara berperingkat bagi menjayakan kayuhan tersebut," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata selain Jambatan Pulau Pinang, acara kayuhan itu juga akan melalui Jalan Perindustrian Juru, Batu Kawan sebelum berpatah balik ke Tapak Pesta melalui Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Lebuhraya Tun Dr. Lum Chong Eu (Bayan Lepas).
Berikutan itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan agar merancang perjalanan mereka dan mematuhi arahan pihak berkuasa yang bertugas di lokasi acara tersebut.
Gooi berkata sebanyak 2,343 peserta telah mendaftar bagi menyertai acara kayuhan tersebut
Kayuhan sejauh 66 kilometer itu juga akan disertai Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak yang melakukan kayuhan sama tahun lepas.
-- BERNAMA