Jambatan penghubung Kg Sekijang dan Felda Pemanis di Segamat runtuh

Astro Awani
Disember 5, 2013 19:45 MYT
Foto fail BERNAMA
Jambatan yang menjadi penghubung utama dari Kampung Sekijang dan Felda Pemanis 1 dan 2 di Segamat runtuh sekali gus menyebabkan seramai 4,000 penduduk terputus hubungan untuk ke bandar Segamat.
Jambatan yang dibina pada tahun 2002 dijadikan jalan utama penduduk khususnya mereka yang mahu menghantar hasil pertanian.
Akibat permasalahan itu, penduduk terpaksa melalui jalan alternatif ke bandar Segamat sejauh 40 kilometer untuk ke felda terbabit.
Pegawai daerah Segamat, A.Rahim Nin berkata, hujan lebat berterusan sejak Sabtu lalu menyebabkan aliran air deras sehingga tebing sungai terhakis seterusnya jambatan sepanjang lapan meter itu runtuh isnin lalu.
Pihaknya bagaimanapun sudah melakukan perbincangan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah selain memanjangkan kepada wakil rakyat kawasan.
“Kita jalankan siasatan kita bersama perbincangan JPS dan JPS berbincang jambatan itu sebenarnya tidak sesuai lagi untuk baik pulih kerana struktur asal tu kemungkinan apabila berlaku hakisan memerlukan satu pembinaan struktur baru untuk pastikan jambatan yang kita buat tu dan kita memerlukan satu pembinaan yang baru yang mana pembinaan jambatan baru ini memerlukan sebanyak RM500,000”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya di Segamat, hari ini.
Manakala, rata-rata penduduk mengharapkan tindakan segera kerajaan menyediakan jambatan sementara untuk memudahkan perjalanan.
Klik pada video untuk berita sepenuhnya.
#jambatan #runtuh #Segamat
;