Jambatan Palekbang-Kota Bharu bakal lonjak ekonomi Kelantan - ECERDC

Astro Awani
November 18, 2020 17:44 MYT
Arizan Arifin berkata projek pembinaan Jambatan Palekbang-Kota Bharu yang dijangka bermula Julai 2021 bakal melonjakkan pertumbuhan ekonomi di Kelantan. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Projek pembinaan Jambatan Palekbang-Kota Bharu yang dijangka bermula Julai 2021 bakal melonjakkan pertumbuhan ekonomi di Kelantan.
Pada masa sama, Pengurus Besar Pelaksanaan Projek, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Arizan Arifin berkata, ia juga mampu merapatkan jurang ekonomi di negeri-negeri seluruh Malaysia.
Justeru katanya, projek berkenaan akan menarik lebih ramai pelabur dan sekali gus menggalakkan peluang pekerjaan serta keusahawanan di negeri itu.
"ECERDC telah menjalankan pelan induk yang mensasarkan pelaburan swasta sebanyak RM9.5 bilion, 27,000 peluang pekerjaan, dan 20,000 peluang keusahawanan.
"Kita akan membina infrastruktur utama di seluruh negeri Kelantan dan bermula di sini. Di Kota Bharu, ia sebagai masterplan dan kita anggarkan lebih ramai pelabur untuk projek ini," katanya kepada Astro AWANI melalui Skype pada Rabu.
Projek Jambatan Palekbang-Kota Bharu juga dibina sebagai alternatif untuk menyuraikan trafik serta merupakan salah satu daripada lima projek strategik yang akan dilaksanakan di negeri Kelantan.
ECERDC telah menjalankan kajian pelan induk bandar Kota Bharu sejak tahun 2013.
"Kita perlukan laluan alternatif untuk seberang Sungai Kelantan ke Tumpat. Kedua, sebagai pemangkin peluasan bandar Kota Bharu sebab dalam merangka pelan induk, dalam Kota Bharu sudah tiada tanah yang besar untuk pembangunan masa depan bandar ini. Jadi pembinaan jambatan ini akan membolehkan pembesaran bandar ke Sungai Kelantan," tambahnya.
Mengenai reka bentuk jambatan berkenaan, ia dibina dengan nilai estetik yang bukan sahaja berunsurkan perhubungan, malah dari segi pelancongan.
Jambatan itu bakal memanfaatkan orang ramai khususnya penduduk tempatan yang bergerak dari Tumpat ke Kota Bharu, pelancong dan pelabur.
"Kita perlukan laluan alternatif untuk seberang Sungai Kelantan ke Tumpat. Kedua sebagai pemangkin peluasan bandar Kota Bharu sebab dalam merangka pelan induk, dalam Kota Bharu sudah tiada tanah yang besar untuk pembangunan masa depan bandar ini. Jadi pembinaan jambatan ini akan membolehkan pembesaran bandar ke Sungai Kelantan," tambahnya.
Pada pembentangan Belanjawan 2021, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan pembangunan di lima koridor wilayah pembangunan ekonomi akan diteruskan dengan peruntukan RM780 juta termasuk pembinaan Jambatan Palekbang ke Kota Bharu.
Projek menelan kos kira-kira RM250 juta itu akan dibina dengan jarak satu kilometer bermula dari Palekbang, Tumpat merentasi Sungai Kelantan hingga ke Penambang, Kota Bharu.
#Astro #Astro Awani #Kota Bharu #Tumpat #Pantai Timur #Malaysia #projek jambatan Jambatan Palekbang-Kota Bharu
;