'Jambatan maut viral' sudah 50 peratus siap

Noraniza Kamsani
Februari 7, 2018 16:05 MYT
Kisah jambatan gantung itu tular pada 2 Jan lepas apabila rakaman video menunjukkan Lutfil Hadi Abdul Jalil, 5, dibantu bapanya Abdul Jalil Sulaiman, 41, menyeberangi Sungai Tanum menggunakan jambatan itu untuk ke SK Batu Yonbag. -Gambar fail
Kerja pembinaan jambatan gantung baharu di Kampung Pamah Aur, Lipis yang tular pada hari pertama sesi persekolahan baru-baru ini, kini sudah 50 peratus siap.
Pengerusi Jawatan Kuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerja-kerja membina jambatan baharu bernilai RM500,000 itu sudah bermula pada 8 Januari lalu dan dijangka siap akhir Mei ini.
BACA: 'Jambatan maut viral' dibina lebih awal dari jadual
BACA: Jambatan maut: "JKR dah lulus, bot pun ada" - ADUN Jelai
"Sehingga kini, kontraktor sudah menyiapkan kerja memasang tiang cerucuk dan struktur besi untuk laluan pejalan kaki," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai berkata, faktor cuaca turut mempengaruhi pelaksanaan kerja menggantikan jambatan gantung lama.
"Apabila siap, jambatan sepanjang 100 meter ini akan memudahkan penduduk kampung berkenaan termasuk penunggang motosikal dan basikal untuk berulang alik melakukan urusan harian masing-masing termasuk pelajar ke sekolah berhampiran," katanya.
Kisah jambatan gantung itu tular pada 2 Januari lepas apabila rakaman video menunjukkan Lutfil Hadi Abdul Jalil, 5, dibantu bapanya Abdul Jalil Sulaiman, 41, menyeberangi Sungai Tanum menggunakan jambatan itu untuk ke Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Yonbagi memulakan kelas prasekolah.
BACA: 'Jambatan maut': Gadai nyawa anak, bapa mohon maaf
Selain kecaman terhadap Kerajaan Negeri yang dilihat gagal menyediakan infrastruktur sempurna kepada masyarakat, ada juga netizen yang mengecam tindakan ibu bapa tersebut yang dilihat sanggup menggadai nyawa anak mereka.
#ADUN Jelai #berbahaya #jambatan gantung #usang #Wan Rosdy Wan Ismail
;