Jambatan maut: "JKR dah lulus, bot pun ada" - ADUN Jelai
Harits Asyraf Hasnan
Januari 2, 2018 14:04 MYT
Januari 2, 2018 14:04 MYT
Ahli Dewan Undangan Negeri Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menafikan beliau tidak berusaha untuk membantu membaik pulih Jambatan Gantung Kampung Pamah Aur, Lipis, Pahang.
Tegasnya, beliau telah membuat permohonan kep`ada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membaik pulih jambatan tersebut dan telah diluluskan pada 21 Dis lalu.
"Saya rasa kesal dengan apa yang telah diviralkan oleh isteri saudara Jalil ini. Bila penerangan diberikan kepadanya, dia telah berpuas hati.
"Sebab itu kalau ada sebarang masalah datang berjumpa dengan JKKK, Penghulu atau dengan saya sendiri untuk bertanya dan mendapatkan maklumat," katanya kepada Astro AWANI selepas mengadakan perjumpaan dengan Abdul Jalil Sulaiman, bapa yang membawa anaknya menyeberangi sebuah jambatan uzur di Lipis, Pahang yang kini viral di Facebook.
Menerusi satu surat yang dikongsikan kepada Astro AWANI, peruntukan sejumlah RM462,414.40 telah diluluskan JKR dengan arahan kerja baik pulih akan bermula pada 8 Jan dan berakhir 18 Mac 2018.
"Perkara ini sebenarnya ini salah faham di mana kita dapat berbincang dan berborak seperti keluarga di mana saya menegaskan dalam apa juga keadaan utamakan keselamatan.
"Kita ada jalan alternatif tetapi disebabkan banjir, ia tidak dapat dilalui. Kita juga ada sediakan bot JKKK sebagai pilihan lain," tegasnya.
Tular di lama Facebook hari ini apabila seorang penggunanya, Siti Zaharah Othman memuat naik video yang menunjukkan suami serta anaknya terpaksa menyeberang sungai ke sekolah melalui sebuah jambatan gantung yang terlalu uzur.
Selain kecaman terhadap Kerajaan Negeri yang dilihat gagal menyediakan infrastruktur sempurna kepada masyarakat, ada juga netizen yang mengecam tindakan ibu bapa tersebut yang dilihat sanggup menggadai nyawa anak mereka.
#Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail
#DUN Jelai
#jambatan gantung
#Kampung Pamah Aur
#lipis
#murid ke sekolah
#pendidikan
#pergi sekolah
#seberang sungai