'Jambatan maut': Gadai nyawa anak, bapa mohon maaf

Harits Asyraf Hasnan
Januari 2, 2018 14:47 MYT
Abdul Jalil Sulaiman (gambar) turut memohon maaf mewakili isterinya, Siti Zaharah Otman yang memuat naik video tersebut hingga tular di laman sosial Facebook pagi tadi. - Astro AWANI
Seorang bapa hari ini memohon maaf susulan membawa anaknya melalui sebuah jambatan gantung yang uzur di Kampung Pamah Aur, Lipis, Pahang.
Abdul Jalil Sulaiman turut memohon maaf mewakili isterinya, Siti Zaharah Otman yang memuat naik video tersebut hingga tular di laman sosial Facebook pagi tadi.
Tegas Abdul Jalil, penerangan telah diberikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkenaan proses baik pulih jambatan gantung tersebut.
BACA: Jambatan maut: "JKR dah lulus, bot pun ada" - ADUN Jelai
"Ini cuma salah faham dan perkara ini telah dapat kita selesaikan secara baik.
"Yang Berhormat (Wan Rosdy) telah berjumpa dengan saya dan terangkan situasi sebenar.
"Saya dengan ini memohon maaf bagi pihak isteri saya yang telah viralkan isu jambatan gantung itu dan saya berterima kasih kepada Yang Berhormat serta Barisan Nasional (BN)," katanya menerusi video yang dikongsikan kepada Astro AWANI.
Sebelum itu, Wan Rosdy serta Abdul Jalil mengadakan perjumpaan di sekolah anaknya, SK Batu Yon, Bukit Betong.
Malah, Wan Rosdy menegaskan peruntukan sejumlah RM462,414.40 telah diluluskan JKR dengan arahan kerja baik pulih akan bermula pada 8 Jan dan berakhir 18 Mac 2018.
Malah, beliau yang juga Ahli Mesyuarat Kerajaan Negari Pahang menegaskan pihak Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) turut menyediakan bot untuk menyeberangi sungai tersebut.
#Abdul Jalil Sulaiman #ADUN Jelai #Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail #jambatan gantung #jambatan maut #jambatan uzur #Kampung Pamah Aur #Kerajaan Pahang #murid ke sekolah #pendidikan #Siti Zaharah Othman
;