Jambatan Manong akan mula dibina Mac 2017

Wan Syamsul Amly
Jun 16, 2016 17:31 MYT
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof meninjau tapak projek pembinaan jambatan menyeberangi Sungai Perak di antara Kampung Seberang Manong ke Pekan Manong (Kampung Simpang Melembu) hari ini. - Foto Bernama
Kerajaan akan memulakan projek pembinaan jambatan menyeberangi Sungai Perak di antara Kampung Seberang Manong ke Pekan Manong pada Mac 2017.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perlaksanaan itu membuktikan pengumuman projek bernilai hampir RM44 juta itu bukan untuk meraih undi pada Pillihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar.
"Jambatan ini adalah salah satu permintaan Allahyarham. Memang berapa kali dia jumpa dan buat permohonan ini.
"Ia juga permimpin-pemimpin setempat kita. Alhamdulillah ia diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Ia bukan disebabkan pilihan raya tetapi sebenarnya adalah dalam perancangan untuk kita laksanakan," katanya.
Fadillah berkata demikian semasa sidang media selepas melawat tapak projek pembinaan jambatan menyeberangi Sungai Perak di antara Kampung Seberang Manong ke Pekan Manong di sini hari ini.
Jambatan itu akan memendekkan perjalanan, menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, menyediakan jalan perhubungan yang selesa dan menjamin tahap keselamatan penduduk setempat.
Perancangan pembinaannya dijadual bermula pada 1 Mac 2017 dan dijangka siap pada 1 Mac 2019.
Ia sekali gus kemudahan infrastruktur asas antara penduduk dan pelajar sekolah khasnya dari Seberang Manong yang selama ini menggunakan bot tambang menyeberangi Sungai Perak untuk ke Pekan Manong.
Sebelum ini, Najib mengumumkan pembinaan jambatan Manong dengan kos sebanyak RM43.5 juta sebagai hadiah kepada rakyat sempena bulan Ramadan.
Pembinaan jambatan itu adalah salah satu daripada janji yang diikrarkan oleh calon Barisan Nasional (BN), Datin Mastura Mohd. Yazid dan merupakan antara impian bekas ahli Parlimen Kuala Kangsar, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.
#Fadillah Yusof #Jambatan Manong #Menteri Kerja Raya #PRK #PRK Kuala Kangsar
;