Jambatan ketiga Pulau Pinang: Fadillah nafi kenyataan Lim Guan Eng
Bernama
Mei 21, 2016 11:08 MYT
Mei 21, 2016 11:08 MYT
Kementerian Kerja Raya menafikan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada Jumaat yang mendakwa kerajaan Persekutuan menolak permohonan atau memberi kesukaran kepada kerajaan negeri untuk membina jambatan ketiga Pulau Pinang berbanding terowong dasar laut.
Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pihaknya telah membuat penelitian dan mendapati tiada permohonan seumpama itu mahupun perbincangan dengan kementerian bagi membina jambatan tersebut.
"Selain itu, tiada sebarang rekod mengenai permohonan atau perbincangan mengenai projek terowong dasar laut Pulau Pinang di mana ia turut memerlukan kelulusan daripada kementerian saya sebelum ia dibina atau dibuka kepada laluan trafik.
"Mungkin pihak Ketua Menteri dapat memberi penjelasan bila permohonan itu dibuat dan bila kementerian menolak permohonan mereka untuk membina jambatan ketiga Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.
Fadillah berkata pihaknya amat berharap kerajaan Pulau Pinang mengendalikan masalah politik dalaman antara gabungan Pakatan Harapan atau skandal dan tidak cuba mempergunakan kerajaan Persekutuan sebagai helah dan menyelamatkan diri.
#Fadillah Yusof
#Jambatan Pulau Pinang
#Kementerian Kerja Raya
#Lim Guan Eng
#pulau pinang
#terowong