Jambatan ketiga: Peringatan keempat agar P.Pinang kemuka cadangan - Fadillah
Bernama
Julai 15, 2016 23:00 MYT
Julai 15, 2016 23:00 MYT
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof mengingatkan kerajaan Pulau Pinang buat kali keempat untuk mengemukakan kajian sedia ada dan dokumen cadangan jambatan ketiga sebelum Jumaat depan.
Beliau berkata kajian sedia dan laporan tersebut telah tertunda hampir dua bulan.
"Bagi mengelakkan lagi penundaan, saya jangkakan kerajaan Pulau Pinang mengemukakan dokumen berkenaan dalam tempoh tujuh hari, selewat-lewatnya Jumaat depan, bagi memudahkan mesyuarat antara kita," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Fadillah berkata beliau sudah tiga kali meminta kerajaan Pulau Pinang mengemukakan kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang serta tiga laluan berkaitan, kepada kementerian dan memberi keputusan menjelang pertemuan mereka.
"Bagaimanapun, tiga kali termasuk kenyataan hari ini, Ketua Menteri Pulau Pinang tidak mengendahkan permintaan ini dan memberi alasan kajian kebolehlaksanaan yang baharu untuk jambatan itu akan lebih mahal dan mahukan satu kelulusan secara dasar terlebih dahulu," katanya.
Fadillah berkata beliau tidak pernah meminta kajian kebolehlaksanaan yang baharu daripada kerajaan negeri untuk cadangan jambatan ketiga itu.
"Saya tidak pasti mengapa berlaku kekeliruan - sama ada sengaja atau sebaliknya - antara laporan sedia ada
dan baharu tetapi keadaan yang berterusan lebih dua bulan adalah tidak produktif untuk kedua-dua pihak.
"Tiada pihak berkuasa di dunia yang akan memberi kelulusan secara dasar untuk projek infrastruktur yang besar bernilai berbilion menerusi surat dua halaman yang dikirim kerajaan Pulau Pinang.
"Saya tidak pasti jika ini adalah amalan standard di Pulau Pinang tetapi ini tidak dilakukan di kementerian," katanya.
Sementara itu, Ketua Menteri Lim Guan Eng meminta Menteri Kerja Raya itu menetapkan tarikh pertemuan bagi membincangkan projek jambatan ketiga Pulau Pinang.
Permintaan itu dibuat menerusi permohonan surat kepada Fadillah yang bertajuk 'Kelulusan Membina Jambatan Ketiga Pulau Pinang Menjelang Tahun 2027' yang dimuat naik dalam laman sosial Facebooknya.