Jambatan kekal akan dibina di lokasi mendap lebuh raya Kuantan-Segamat - Ahmad Maslan
Bernama
Januari 18, 2024 17:03 MYT
Januari 18, 2024 17:03 MYT
PEKAN: Sebuah jambatan kekal di Kilometer 73, Seksyen 102, FT 12 Lebuhraya Kuantan-Segamat di sini akan dibina bagi menggantikan jambatan Bailey yang dipasang ekoran kejadian jalan mendap baru-baru ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata setakat ini pihaknya telah pun membuat permohonan peruntukan bernilai RM17 juta kepada Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan bagi pembinaan jambatan kekal berkenaan.
"Kita merancang untuk membina jambatan kekal di jalan asal laluan ini bagi menggantikan jambatan Bailey yang dipasang buat sementara waktu. Jangkaan pembinaannya dianggarkan mengambil masa dua atau tiga tahun," katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja pemasangan jambatan Bailey itu hari ini.
Ahmad berkata proses pemasangan jambatan Bailey jenis Acrow 700XS (double lane) sepanjang 30.48 meter dengan lebar 9.3 meter itu adalah paling pantas iaitu hanya tiga hari selepas dimulakan pada 11 Jan lepas, berbanding kebiasaan yang memakan masa lima hingga tujuh hari.
Proses pemasangan itu melibatkan 31 tenaga kerja termasuk masing-masing 12 orang dari Cawangan Kejuruteraan Mekanikal Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang dan JKR Daerah Temerloh serta tujuh dari Cawangan Kejuruteraan Mekanikal Pahang Barat.
Ahmad bagaimanapun berkata laluan itu masih tidak dapat dibuka kepada orang ramai kerana belum ditar ekoran cuaca hujan yang berterusan, dengan kerja hamparan premix akan dilaksanakan segera bergantung kepada keadaan cuaca.
"Jika ada cuaca panas walaupun setengah hari ia sudah membolehkan kita untuk tar jalan ini, jadi saya berharap orang ramai bersabar dengan hal ini," katanya sambil menjelaskan kos bagi kerja tar jalan tersebut bernilai RM550,000.
Beliau berkata setakat ini selain di Pekan, dua lagi jambatan Bailey yang telah dipasang di ekoran bencana pada musim tengkujuh kali ini ialah di Melaka dan Jeli, Kelantan.
Pemasangan jambatan Bailey di Pekan dibuat selepas jalan itu mendap pada 1 pagi 7 Jan lepas, dipercayai akibat pergerakan air ekoran limpahan sungai berhampiran ekoran hujan berterusan, menyebabkan jalan itu ditutup kepada semua jenis kenderaan.
-- BERNAMA