Jambatan Kedua Pulau Pinang siap utuk pelancaran - JKSB

Bernama
Februari 18, 2014 07:21 MYT
Jambatan Kedua Pulau Pinang - Gambar Fail
Jambatan Kedua Pulau Pinang yang merupakan projek Kerajaan Persekutuan, bernilai RM4.5 bilion kini siap untuk dilancarkan pada awal bulan depan.
Penolong Pengurus Perhubungan Awam dan Komunikasi Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) Azizi Azizan berkata JKSB telah membuat ujian sistem tol semalam dan semuanya berjalan lancar.
Beliau berkata sebelum ini pelbagai ujian beban telah dijalankan dan semuanya lancar serta memenuhi tahap piawaian yang dikehendaki.
"Selepas ujian sistem tol semalam, saya yakin jambatan ini telah siap untuk pelancaran bulan depan," katanya pada Selasa.
Jambatan sepanjang 24 kilometer dengan 16.9 kilometer di atas air laut yang menghubungkan Batu Maung di bahagian pulau dan Batu Kawan di tanah besar itu merupakan jambatan terpanjang di Asia Tenggara.
Azizi berkata plaza tol di jambatan itu mempunyai lapan lorong iaitu empat lorong elektronik dan empat lorong manual.
Apabila beroperasi kelak, jambatan kedua itu dijangka mengendalikan 100,000 kenderaan setiap hari dan dapat mengurangkan kesesakan di Jambatan Pulau Pinang sebanyak 25 peratus.
Pada 30 April lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi pemimpin negara pertama menggunakan jambatan itu untuk menghadiri majlis di Kepala Batas, Seberang Perai.
Mengikut perancangan awal, jambatan itu dijadual siap 8 Nov lepas dan dibuka kepada umum hujung bulan itu tetapi tarikh berkenaan ditangguh.
Minggu lepas, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata jambatan itu akan dibuka secara rasmi pada 1 Mac.
#Jambatan Kedua Pulau Pinang #Jambatan Kedua Sdn Bhd
;