Jambatan gantung Kampung Mansiang akan dibuat dalam waktu terdekat - ADUN Tulid
Nickyson Nyambar
Julai 28, 2022 20:15 MYT
Julai 28, 2022 20:15 MYT
KUALA LUMPUR : Pembinaan jambatan gantung buat masyarakat di Kampung Mansiang Baru Keningau di Sabah akan dilaksanakan dalam waktu terdekat.
Tanpa mendedahkan masa yang spesifik, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tulid, Flovia Ng memberitahu kemudahan jambatan buat penduduk di kampung itu sudah pun mendapat kelulusan daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
Jawapan ini diberikan susulan daripada kekangan murid dari kampung itu yang terpaksa berhadapan dengan bahaya menyeberang sungai dengan berpaut pada batang paip besi yang licin untuk ke sekolah, seperti yang tular di media sosial.
"Terima kasih kerana bertanya, sememangnya jambatan gantung untuk Kampung Mansiang sudah tersenarai dalam pelaksanaan melalui peruntukan ADUN.
"Kelulusan dari KPLB sudah dikeluarkan dan dalam masa terdekat ini akan dilaksanakan," katanya ringkas kepada Astro AWANI.
Baru-baru ini tular video berdurasi 35 saat yang memaparkan kepayahan murid-murid dari kampung itu untuk ke sekolah.
Mereka dilihat berpaut pada batang paip menyeberang arus deras di laluan yang sama.
Penduduk mendakwa, mereka dijanjikan jambatan baharu pada April yang lalu, namun kelibat pembinaan masih belum ada.