Jambatan ditenggelami air, penduduk kampung ikut jalan alternatif lebih 4km

Astro Awani
Disember 16, 2019 05:34 MYT
Pihak MPKK Kampung Padang Kubu sentiasa memantau paras air Sungai Tebak yang semakin naik dan mula melimpah memasuki beberapa rumah di kawasan itu. - Astro AWANI
Hujan lebat yang melanda daerah Kemaman sejak petang Ahad menyaksikan peningkatan paras air di beberapa batang sungai utama di daerah itu.
Hasil tinjauan di Kampung Padang Kubu dan Kampung Teladas pada Isnin mendapati air Sungai Kemaman dan Sungai Tebak telah mula melimpah sehingga ke kediaman penduduk.
Selain itu Jambatan Teladas yang menghubungkan Kampung Teladas dengan pekan Air Putih ditenggelami air lebih satu meter dan ditutup kepada semua kenderaan.
Situasi itu menyebabkan kira-kira 200 penduduk terpaksa menggunakan laluan alternatif sejauh lebih empat kilometer.
Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Padang Kubu, Sudin Muda berkata pihaknya sentiasa memantau paras air Sungai Tebak yang semakin naik dan mula melimpah memasuki beberapa rumah di kawasan itu.
Menurut Sudin, pihaknya telah bersiap sedia untuk memindahkan penduduk terjejas ke pusat pemindahan sementara (PPS) bagi memastikan keselamatan mereka serta semua keperluan telah disediakan.
"Sedang memantau keadaan banjir yang berlaku yang kali yang keempat ini. Penduduk dalam keadaan berjaga-jaga. Dalam keadaan sekarang, mungkin air akan bertambah naik dari masa kesemasa.
"Kita akan sentiasa memantau penduduk di sekitar kawasan ini. Berjaga-jaga dari segi keselamatan semua. Bekalan yang ada Alhamdulillah setakat ini mencukupi," kata Sudin.
Keadaan yang melanda itu membuatkan penduduk dari dua kampung tersebut berada dalam keadaan bersiap sedia bagi menghadapi gelombang banjir keempat.
BACA: JBPM pindah aset dari Pantai Barat ke Terengganu hadapi banjir gelombang keempat
BACA: Gelombang banjir seterusnya dikhuatiri akhir bulan ini
Penduduk juga hanya menunggu arahan pihak berkuasa untuk berpindah jika air sungai terus naik dan memasuki kediaman.
Terdahulu, Terengganu telah melalui tiga episod banjir sehingga menjejaskan lebih 6,000 mangsa.
Bagaimanapun, keadaan itu pulih sepenuhnya apabila semua mangsa yang terjejas dibenarkan pulang dengan dua pusat pemindahan di Kuala Nerus ditutup kira-kira jam 11 pagi pada 7 Disember lalu.
#air sungai melimpah #banjir #gelombang keempat #Jambatan Teladas #jambatan tenggelam #Kemaman #laluan alternatif #PPS #pusat pemindahan #Sudin Muda #Sungai #Sungai Kemaman #Sungai Tebak #terengganu
;