Jambatan dalam pembinaan runtuh selepas hujan lebat lebih 10 jam

Muhafandi Muhamad
April 25, 2021 07:46 MYT
Penduduk terpaksa menggunakan jambatan kereta api sedia ada di kawasan tersebut selepas jambatan dalam pembinaan merentasi Sungai Galas runtuh. -Astro AWANI
GUA MUSANG: Harapan 1,000 penduduk Kampung Batu Enam di Gua Musang, Kelantan untuk menggunakan jambatan baharu menjelang hari raya Aidilfitri musnah apabila jambatan yang sedang dalam pembinaan itu runtuh dihanyut arus deras Sungai Galas.
Jambatan yang dibina merentasi Sungai Galas itu runtuh pada Khamis selepas hujan lebat tanpa henti selama lebih 10 jam di kawasan berkenaan.
Menurut penduduk kampung, jambatan itu dipercayai runtuh di antara pukul 11 malam hingga 1 pagi ketika hujan lebat yang menyebabkan air sungai meningkat naik.
"Sebenarnya perkara ni dinanti hampir setahun tetapi sudah nampak satu rahmat atau kejayaan jambatan ini tetapi disebabkan musibah banjir, maknanya harapan tinggal harapan sajalah," kata Kua Eh Say.
Dengan runtuhnya jambatan itu, penduduk terpaksa menggunakan jambatan kereta api sedia ada di kawasan tersebut.
"Memandangkan kita mengharapkan jambatan boleh digunakan pada Aidilfitri ini, nampaknya terpaksalah penduduk di kawasan Batu Enam menggunakan jambatan kereta api untuk mengeluarkan segala hasil produk yang ada di kampung, yang ada di dalam kebun, terutamanya getah dan buah-buahan," kata Mohd Asri Megat Othman.
Jambatan Runtuh | Harapan guna jambatan semasa raya berkecai
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab Aziz Yusoff yang meninjau jambatan runtuh itu berkata pihaknya akan berbincang dengan agensi berkaitan bagi pembinaan semula jambatan berkenaan dalam masa terdekat.
"Kita harap pihak kerajaan melalui agensi yang terlibat sama ada NADMA atau KPLB mengambil tindakan segera supaya jambatan ini, sama ada jambatan sementara atau jambatan kekal.
"Saya berpandangan elok jambatan kekal ini dipercepatkan sementara jambatan sementara ini kita kena buat satu cara yang lain di mana perendahkan jambatan ini supaya apabila datang banjir atau arus besar air tu melimpah ke atas dan balak dan sampah tidak tersekat di jambatan," kata Ab Aziz.
Sebelum ini kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM400,000 untuk membina jambatan itu bagi menggantikan jambatan konkrit yang runtuh pada pertengahan tahun lepas akibat banjir kilat.
#jambatan runtuh #Kampung Batu Enam #Sungai Galas #arus deras #air sungai meningkat #hujan lebat lebih 10 jam #Ab Aziz Yusoff #ADUN Nenggiri
;