Jambatan Bukit Kuang dibuka menjelang Hari Raya
Bernama
Julai 29, 2013 08:00 MYT
Julai 29, 2013 08:00 MYT
Jambatan baharu Bukit Kuang di sini akan dibuka menjelang Hari Raya ini untuk memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri Ir Rosli Othman berkata jambatan melibatkan jalan susur sepanjang 3.14 kilometer itu akan dibuka dua hala bagi laluan sebelah kiri dari Cukai ke Dungun.
"Kami sudah bermesyuarat dan mengambil keputusan untuk membuka sementara bagi laluan sebelah kiri dari Cukai untuk membolehkan kenderaan kedua-dua arah berkenaan menggunakannya.
"Bagaimanapun tarikh sebenar pembukaan itu belum ditentukan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.
Rosli berkata Jambatan Bukti Kuang yang mula dibina pada Julai 2010 dijangka siap sepenuhnya pertengahan tahun depan.
Beliau berkata pembukaan dua dari empat lorong jambatan itu akan melancarkan aliran trafik serta mampu menyuraikan kesesakan yang teruk terutama pada musim perayaan.
"Oleh kerana jalan di situ sesak berikutan pembinaan jambatan berkenaan, kami galakkan pengguna jalan raya dari kedua-dua arah menggunakan jalan lencongan melalui jalan Ibok dan Mini Zoo Bukit Takal, Kemaman," katanya.