Jambatan Bailey di Jalan Kuantan-Segamat dibuka semula hari ini
Bernama
Mei 1, 2024 22:17 MYT
Mei 1, 2024 22:17 MYT
KUANTAN: Jambatan Bailey di Seksyen 102 Jalan Kuantan-Segamat yang ditutup sebelum ini untuk kerja-kerja pembaikan dibuka semula bermula 4 petang tadi.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Pekan dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerja-kerja pembaikan di laluan berkenaan siap sepenuhnya dan jambatan itu dibuka dua hala kepada kenderaan dengan had muatan yang dibenarkan tidak melebihi 20 tan.
"Pengguna jalan raya dinasihatkan agar berhati-hati ketika melalui laluan berkenaan dan sentiasa mematuhi arahan papan tanda yang telah disediakan. Kerjasama semua pihak amat dihargai," menurut kenyataan itu yang dipaparkan di laman Facebook JKR Pekan.
Sebelum ini, media melaporkan peningkatan jumlah kenderaan berat terutama melebihi had muatan 20 tan dikenal pasti sebagai punca kerosakan jambatan berkenaan dan hasil pemantauan di tapak mendapati plat keluli yang menyambungkan ramp atau tanjakan ke jalan tuju mengalami kerosakan.
Susulan itu, laluan berkenaan ditutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dijalankan.
Jambatan yang menghubungkan jalan terputus akibat banjir itu dibuka kepada kenderaan ringan tidak melebihi had muatan 20 tan pada 27 Jan lepas.
-- BERNAMA