Jambatan baharu rentangi Sungai Perak di Kampung Sawa siap
Abd Razak Mohd Ali
Februari 20, 2023 18:00 MYT
Februari 20, 2023 18:00 MYT
LENGGONG: Jambatan baharu yang dibina di Kampung Sawa, dekat sini, selepas jambatan lama dihanyutkan banjir besar pada 2014, siap sepenuhnya.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian Dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun, berkata, jambatan bernilai RM3.25 juta itu yang dibina pada 18 Februari 2020 disiapkan pada 5 Februari 2022.
Menurutnya, lebar jambatan itu adalah lima meter dan merentangi Sungai Perak sepanjang 185 meter.
“Projek ini merupakan projek yang dibiayai oleh kerajaan persekutuan melalui Kemeterian Pembangunan Luar Bandar ketika itu dan Jabatan Kerja Raya Perak merupakan agensi pelaksana,” katanya ketika melawat jambatan berkenaan hari ini.
Menurutnya, projek itu adalah untuk menggantikan struktur jambatan yang hanyut akibat banjir besar pada tahun 2014.
Di samping itu, katanya, ia juga bagi meningkatkan tahap keselamatan kerana merupakan penghubung bagi aktiviti-aktiviti ekonomi penduduk setempat.
Pada 2014, Malaysia dilanda banjir besar, yang terburuk dalam sejarah banjir di Malaysia dengan mencatatkan lebih 300,000 orang dipindahkan.