Jambatan Bagan Datuk tidak rosak - JKR Perak

Bernama
Jun 8, 2023 22:02 MYT
Semalam telah tular satu video di Facebook, jambatan yang dibuka kepada kenderaan minggu lalu didakwa mengalami kerosakan dan rekahan. - Gambar Bernama
IPOH: Jambatan Bagan Datuk melibatkan laluan dari Bagan Datuk ke Kampung Sejagop yang baharu dibuka kepada orang ramai minggu lalu, tidak mengalami sebarang kerosakan seperti yang tular di media sosial, kata Pengarah Jabatan Kerja Raya Perak Ir Hamdan Ali.
"Sebenarnya ia bukan kerosakan, itu hanya sambungan binaan di antara sambungan struktur jambatan, dan tidak menjejaskan kekuatan atau struktur jambatan tersebut.
"Bagaimanapun, ia akan diperbaiki dengan kadar segera," katanya ringkas ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Hamdan berkata satu kenyataan media mengenai isu berkenaan, akan dikeluarkan oleh pihak Ibu Pejabat JKR hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata garisan yang terdapat di jalan itu, tidak membahayakan pengguna jalan raya dan ia selamat dilalui oleh semua kenderaan.
"Ia tidak melibatkan rekahan pada struktur jambatan, tetapi sambungan permukaan turapan jalan yang biasa diisi dengan rubber sealant dan ia selamat digunakan oleh pengguna jalan raya," katanya.
Semalam telah tular satu video di Facebook, jambatan yang dibuka kepada kenderaan minggu lalu didakwa mengalami kerosakan dan rekahan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 1 Jun telah melancarkan pembukaan jambatan berkenaan, yang bukan sahaja sekadar memanfaatkan 70,000 pengguna dari Bagan Datuk, tetapi ia meliputi tidak kurang daripada 250,000 pengguna daripada tiga daerah lain, iaitu kawasan Parlimen Pasir Salak, Teluk Intan dan Sabak Bernam.
-- BERNAMA
#Jabatan Kerja Raya #Struktur jambatan #media sosial #rekahan
;