Jambangan bunga tanda solidariti buat The Edge
Haider Yutim
Julai 25, 2015 14:46 MYT
Julai 25, 2015 14:46 MYT
Gerakan Media Marah (Geramm) bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menghantar sejambak bunga kepada kumpulan media The Edge sebagai tanda solidariti penggantungan penerbitan tersebut selama tiga bulan mulai Isnin depan.
Kira-kira 20 ahli dari sekretariat Geramm dan Bersih 2.0, Jaringan Orang Asli Semenanjung (JAOS) dan Teoh Beng Hock Trust Democracy telah berkumpul di hadapan pejabat The Edge sejak jam 12 tengah hari tadi.
Sambil membawa jambangan bunga serta banner menuntut kebebasan media, mereka turut melaungkan slogan "Bebas media!" dan "Bebaskan The Edge!".
Jurucakap Geramm, Radzi Razak berkata himpunan tersebut adalah bagi menyatakan solidariti kepada akhbar harian dan mingguan, The Edge Financial Daily dan The Edge Weekly yang penggantungan permitnya akan bermula pada Isnin.
Pengurus Besar Bahagian Pengedaran The Edge, Joehari Abdul Jabbar menerima sejambak bunga dari salah seorang ahli kumpulan Geramm di ibu pejabatnya di Petaling Jaya, pada Sabtu. - Foto Astro AWANI/HAIDER YUTIM
"Semalam Geramm dah keluar satu kenyataan yang mengatakan keputusan ini amat tidak adil dan berniat tidak baik pada pengamal media di Malaysia," katanya kepada pemberita hari ini.
Menurutnya, hari ini merupakan simbolik solidariti pemberian bunga dan katanya gerakan media bersama kumpulan-kumpulan NGO lain akan membuat satu lagi himpunan solidariti yang lebih besar di ibu pejabat The Edge di sini pada Jumaat ini.
Sementara itu, Pengurus Besar bahagian pengedaran The Edge, Joehari Abdul Jabbar menyambut baik himpunan yang diadakan hari ini.
Beliau turut menerima jambangan bunga yang diberikan Geramm serta NGO-NGO berkenaan.
Geramm ialah perikatan longgar wartawan, wakil media dan aktivis tempatan yang memperjuang kebebasan media dan pengamalnya.