Jamalul Kiram isytihar perang gerila ke atas Malaysia - Media Filipina
T K Letchumy Tamboo
Mac 18, 2013 13:02 MYT
Mac 18, 2013 13:02 MYT
Pada mulanya, dia mahukan gencatan senjata untuk mengelakkan pertumpahan darah di pantai timur Sabah, namun kini nada Jamalul Kiram III berubah.
Portal berita PhilSTAR.com semalam melaporkan bahawa Jamalul telah mengisytiharkan perang gerila ke atas pasukan keselamatan negara.
Menurut laporan itu, Jamalul telah mengarahkan saki-baki pengikutnya yang berada di Sabah, untuk terus berjuang kerana katanya, berundur bukanlah satu pilihan pada ketika ini.
“Mereka sudahpun berada di sana. Jadi, kenapa perlu mereka pulang ke sini?” kata Jamalul kepada pemberita di Taguig City.
Sementara itu, jurucakap kumpulan itu, Abraham Idjirani berkata pengikut mereka telah diarah menggunakan taktik ‘tembak dan lari’ ke atas anggota keselamatan negara.
Dia juga mendakwa adik Jamalul, Azzimudie Kiram yang mengetuai kumpulan itu, masih berada di Sabah.
Permintaan Jamalul sebelum ini untuk mengadakan gencatan senjata, telah ditolak oleh kerajaan Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata pengganas Sulu tersebut perlu meletakkan senjata mereka dan menyerah diri tanpa syarat.