Jamaluddin Muhammad dilantik CEO Bernama, berkuat kuasa esok

Bernama
Oktober 18, 2023 13:16 MYT
Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Jamaluddin Muhammad dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) agensi itu berkuat kuasa esok. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Jamaluddin Muhammad dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) agensi itu berkuat kuasa esok.
Pelantikan itu diumumkan Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai dalam satu kenyataan hari ini.
Wong berkata pelantikan itu diputuskan oleh mesyuarat Lembaga Pengelola Bernama di sini hari ini.
"Kita berharap dengan pengalaman dan pengetahuan luas beliau, Jamaluddin dapat menerajui Bernama dalam menghadapi cabaran semasa industri media," kata Wong.
Jamaluddin, 59, menggantikan Roslan Ariffin yang telah berkhidmat sejak Julai tahun lepas.
Jamaluddin merupakan lulusan jurusan Komunikasi Massa (Kewartawanan) Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan telah berkhidmat di agensi berita itu sejak 38 tahun lepas.
Beliau pernah bertugas sebagai Ketua Biro Kedah, Ketua Biro Putrajaya, Koresponden Bernama di Thailand dan Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Dalam Negeri serta Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Antarabangsa BERNAMA.
Lembaga Pengelola merakamkan setinggi penghargaan kepada Roslan atas perkhidmatan beliau.
-- BERNAMA
#Jamaluddin Muhammad #CEO Bernama #Ketua Pengarang Bernama #Wong Chun Wai