Jamal Yunos rebah di program BN, kini dalam keadaan stabil

Hasimi Muhamad
September 18, 2022 12:53 MYT
Amin Daniel menambah, Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar ketika ini dirawat di Pusat Perubatan Prince Court di ibu negara. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ketua Komunikasi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Jamal Md. Yunos yang rebah secara mengejut malam tadi dilaporkan dalam keadaan stabil.
Anak kepada Jamal, Amin Daniel ketika dihubungi Astro AWANI memaklumkan, setakat ini punca sebenar yang menyebabkan bapanya rebah masih dalam siasatan doktor.
Amin Daniel menambah, Jamal, 52 tahun, yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar ketika ini dirawat di Pusat Perubatan Prince Court di ibu negara.
"Semalam sebenarnya dia pergi ke satu program Barisan Nasional (BN), dan selepas itu entah macam mana dia (Jamal) boleh rebah di situ. Saya sendiri yang bawanya ke Prince Court dari Sekinchan.
"Bila sampai di Prince Court, doktor ambil ujian darah dan masa itu dia sudah okay sikit. Sekarang ini sedang tunggu keputusan ujian darah. Mungkin tekanan darah terlalu tinggi, manusia ini kalau tekanan darah tinggi itu yang tak boleh stabil dan boleh rebah," katanya hari ini.
Jelas Amin Daniel lagi, sebelum menghadiri program berkenaan, Jamal ada memaklumkan bahawa dia kurang sihat.
Begitupun, Jamal meneruskan perancangan untuk hadir ke program berkenaan walaupun dinasihatkan untuk tidak berbuat demikian.
Ditanya adakah tahap kesihatan Jamal ada kaitan dengan penyakit kanser paru-paru tahap empat yang dihidapinya, Amin Daniel berkata, bapanya itu telah disahkan bebas daripada penyakit tersebut sekitar Julai lalu.
"Tetapi kali ini saya rasa bukan (berpunca) daripada kanser, tapi saya tak pasti lagi. Alhamdulillah dia sudah boleh makan," ujarnya.
#Jamal Yunos rebah #Jamal Yunos masuk hospital #Jamal Yunos penyakit kanser #Politik Malaysia
;