Jamal Yunos hilang

Astro Awani
Mei 25, 2018 15:16 MYT
Jamal telah dituduh sebanyak tiga pertuduhan hari ini di hospital tersebut.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos, 48 tahun dipercayai 'hilang' ketika proses jaminan mahkamah yang dibuat di Hospital Ampang Puteri di sini petang ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, 'kehilangan' Jamal itu berlaku antara pukul 5 ke 6 petang ketika pihak polis dan peguam sedang melakukan dokumentasi jaminan mahkamah.
"Kita sedang kesan beliau (Jamal) untuk menyelesaikan proses dokumentasi jaminan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, malam ini.
Dalam satu kenyataan berasingan, Fadzil memberitahu, Jamal telah dituduh sebanyak tiga pertuduhan hari ini di hospital tersebut.
Bagaimanapun katanya, pihak majistret telah menawarkan ikat jamin RM3,000 untuk setiap kes.
"Sementara proses dokumentasi jaminan mahkamah sedang berjalan petang tadi, Jamal telah meninggalkan kawasan hospital.
"Beliau akan dihubungi semula untuk menyelesaikan proses dokumentasi jaminan mahkamah itu," katanya.
#Ampang #Fadzil Ahmat #hilang #Hospital Ampang Puteri #Jamal Md Yunos #jaminan mahkamah #Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor #SAC #Sungai Besar #UMNO