Jamal ditahan lima hari berhubung serbuan premis judi

Bernama
Februari 3, 2017 18:23 MYT
Datuk Seri Jamal ditahan reman lima hari bagi membantu siasatan berhubung serbuan ke atas beberapa premis perjudian di sekitar Selangor. - Gambar MOHD RASFAN / AFP
Pengerusi Gabungan Gerakan Merah Malaysia (GNGMM), Datuk Seri Jamal Md Yunos ditahan reman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung serbuan ke atas beberapa premis perjudian di sekitar Selangor, akhir tahun lepas.
Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali membenarkan permohonan polis untuk menahan reman Jamal sehingga 7 Feb.
Di luar Mahkamah Majistret Ampang dekat sini, peguam Zamri Idrus yang mewakili Jamal memberitahu media bahawa anak guamnya disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan.
BACA: Jamal Yunos dan 9 pengikut Baju Merah ditahan polis
Beliau berkata Jamal ditangkap disebabkan satu laporan polis terhadap anak guamnya itu dan tempoh tahanan reman tersebut dikeluarkan kerana polis memerlukan masa untuk melengkapkan kertas siasatan.
Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu ditahan di kediamannya pada 3 petang semalam.
Pada Disember tahun lepas, Jamal bersama beberapa yang lain telah "menyerbu" beberapa premis yang menjalankan kegiatan judi di Ampang, Selangor.
-- BERNAMA
#Baju Merah #Jamal ditahan polis #Jamal Yunos #Ketua JSJ #sembilan pengikut ditahan
;