Jamal dan pengikut didakwa 'samun' barang berharga dari premis yang diserbu

Rahimah Abdullah
Februari 4, 2017 13:48 MYT
NOOR RASHID: Tindakan menceroboh dan mengambil barangan milik premis adalah dianggap sebagai kes samun.
Pengerusi Gabungan Gerakan Merah Malaysia (GNGMM), Datuk Seri Jamal Md Yunos dan pengikutnya didakwa mengambil beberapa barangan berharga dari premis yang diserbu mereka pada akhir tahun lalu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, dakwaan itu masih dalam siasatan dan polis akan mengambil tindakan jika didapati mereka melakukan kesalahan berkenaan.
Menurutnya, tindakan menceroboh dan mengambil barangan milik premis adalah dianggap sebagai kes samun.
"Apabila memasuki mana-mana premis atau kita merampas atau mengambil sesuatu daripada seorang lain tanpa kebenaran dia, itu dianggap satu perbuatan yang diklasifikasi sebagai samun.
"Dalam insiden ini, Jamal dan rakan-rakannya masuk kedai berkenaan. Semasa mereka masuk ke kedai itu dengan alasan ia menjalankan aktiviti perjudian, dipercayai berdasarkan aduan, polis dimaklumkan ada (berlaku kes) kehilangan beberapa barang berharga daripada premis tersebut," katanya dalam sidang media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Kadet Inspektor di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.
Polis katanya, sedang menganalisa laporan aduan berkenaan dan tindakan lanjut akan diambil ke atas Jamal dan pengikutnya jika benar laporan berkenaan.
Pada masa sama,tindakan akan turut diambil ke atas pemilik premis yang diserbu jika terdapat berlaku pelanggaran undang-undang sedia ada.
Pada Disember tahun lalu, Jamal dan penyokongnya dilaporkan menyerbu beberapa premis perniagaan dengan mendakwa premis terbabit menjadi pusat aktiviti haram dan maksiat.
Ketua UMNO Sungai Besar itu telah ditahan reman lima hari bermula Jumaat bagi membantu siasatan.
#Baju Merah #jamal samun #Jamal Yunos #premis perjudian #rampas barang #serbuan
;