Jalur Gemilang lambang kedaulatan negara dipasang megah di bangunan tinggi

Bernama
Ogos 28, 2021 07:58 MYT
Jalur Gemilang berkibar megah di hadapan Bangunan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di Presint 4, Putrajaya, 28 Ogos, 2021. --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Segak dengan topi keselamatan, Basli Bachok memandang dengan teliti empat Jalur Gemilang yang tersergam indah dan megah di bangunan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di sini.
Basli, 42, kontraktor yang dipertanggungjawabkan memasang Jalur Gemilang berukuran 20 kaki lebar dan 40 kaki panjang di bangunan KKMM setinggi 37 tingkat itu bertujuan menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-64, Selasa ini.
Yang pasti, Basli tidak sama sekali akan berkompromi dalam aspek kesempurnaan dan mahu memastikan Jalur Gemilang yang dipasangnya itu tersergam indah, kemas dan menarik untuk tatapan.
Basli yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam kerja-kerja memasang bendera gergasi Jalur Gemilang di bangunan tinggi berkata tugas berkenaan perlu dilakukan dengan teliti dan rapi kerana Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan negara Malaysia.
"Saya naik pasang bendera ini menggunakan kren pengangkat (skylift). Kerja pemasangan perlu dilakukan dengan teliti dan diikat dengan baik kerana kita tidak mahu bendera atau bunting Jalur Gemilang ini berkedut atau jatuh apabila hujan. Jalur Gemilang adalah kebanggaan rakyat Malaysia," katanya kepada Bernama.
Menurut Basli, kerja-kerja pemasangan Jalur Gemilang di bangunan tinggi kadangkala mengambil masa lebih lima jam kerana ia bergantung kepada keadaan cuaca.
"Kalau cuaca baik, memang kerja pasang bendera ini boleh dilakukan dengan cepat namun ia bergantung kepada saiz bunting atau bendera yang ingin dipasang," katanya yang memasang empat Jalur Gemilang Gergasi dari aras 25 bangunan KKMM itu.
Rakan sekerjanya, Nizam Mudlaif, 37, berkata kerja-kerja memasang Jalur Gemilang di bangunan tinggi sememangya berisiko dan perlu dilakukan dengan berhati-hati namun ia adalah tugas yang membanggakan kerana hasil kerja itu akan menjadi tatapan umum.
"Apabila selesai kerja, memang bangga apabila lihat Jalur Gemilang yang dipasang di bangunan tersergam indah dan kemas. Orang ramai dan warga asing yang melalui jalan di bangunan ini akan lihat hasil kerja kami... ini sahaja yang boleh dilakukan untuk tunjukkan rasa cinta kepada negara," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) KKMM Mazlan Mutalib berkata sebanyak 200 Jalur Gemilang dipasang di lobi dan setiap tingkat di bangunan KKMM di sini bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Kebangsaan ke-64.
"Saya harap semua rakyat Malaysia dapat bersama-sama kibarkan Jalur Gemilang sebagai menghargai jasa dan pengorbanan pejuang-pejuang negara yang telah bertungkus-lumus memerdekakan negara," katanya.
-- BERNAMA
#Jalur Gemilang #Kementerian Komunikasi dan Multimedia #bangunan tinggi #kedaulatan negara
;