Jalur Gemilang gergasi hiasi PPR Padang Hiliran

Nur Fazlizai Ali
Ogos 21, 2021 07:42 MYT
Penduduk bergontong-royong menyiapkan bendera gergasi sepanjang 50 meter dan direntangkan di bangunan setinggi 17 tingkat itu. - Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak lebih setahun lalu tidak meluntur semangat orang ramai untuk menyemarakkannya meskipun dalam norma baharu.
Bagi menzahirkan rasa cinta kepada tanah air, pelbagai kreativiti ditampilkan penghuni yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran, Kuala Terengganu.
Menerusi sambutan hari kebangsaan pada tahun ini, penduduk bergontong-royong menyiapkan bendera gergasi sepanjang 50 meter dan direntangkan di bangunan setinggi 17 tingkat itu.
Menurut penghuni PPR, inisiatif yang dilakukan itu bagi menyemarakkan dan menterjemahkan semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan warganya selain untuk memeriahkan sambutan hari kebangsaan kali ini.
Mereka sanggup mengeluarkan duit sendiri untuk menghiasi bangunan kediaman mereka dengan Jalur Gemilang.
Bagi seorang pesara, Zabri Awang, pemasangan Jalur Gemilang ini telah menjadi rutin tahunan baginay sejak dia mendiami rumah berkenaan pada 2015.
"Pemasangan bendera ni sudah menjadi rutin tahunan kita sejak saya tinggal di sini pada 2015 hingga sekarang.
"Setiap tahun menjadi amalan kita pasang bendera menandakan kita semua ini menjiwai anak alaf baharu, jiwa merdeka sempena bulan kebangsaan," katanya.
Seorang peniaga, Muhammad Daniel Hafiz Maharaja pula berkata, kesemua penghuni di PPR berkenaan akan mengibarkan Jalur Gemilang lambang semangat patriotisme mereka terhadap negara.
"Kita semua penduduk disini tidak kira Melayu, Cina atau India, semua bersatu memasang Jalur Gemilang, bendera negara kita untuk menyambut hari kebangsaan pada 31 Ogos ini," katanya.
Perasaan cinta negara sama diluahkan seorang suri rumah, Yeow Kim Lien yang turut menggesa orang ramai bersatu hati.
"Kita sambut hari kebangsaan ini bersama-sama, rakyat Malaysia perlu bersatu hati," katanya.
Untuk pemasangan bendera kali ini, penduduk membelanjakan hampir RM1,500 dan hasilnya bendera gergasi dan 2,000 bendera pelbagai saiz menghiasi bangunan dan persekitaran kediaman mereka.
Justeru mereka berharap aktiviti tradisi itu dapat teruskan sekaligus mengeratkan hubungan sesama mereka walaupun dalam kesibukan bekerja.
Mereka juga berharap masyarakat di sini prihatin dengan keadaan sekeliling dengan menjaga prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
#Jalur Gemilang #gergasi #bendera #PPR Padang Hiliran #Hari Kebangsaan
;