Jalani ujian segera jika bergejala selepas pulang dari Sabah - Dr Noor Hisham
Astro Awani
September 22, 2020 18:45 MYT
September 22, 2020 18:45 MYT
Individu yang mempunyai gejala selepas pulang dari Sabah diwajibkan menjalani ujian saringan COVID-19 di hospital.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada masa sama berkata, mereka yang tidak bergejala turut digalakkan berbuat demikian.
"Setakat ini, pendirian KKM ialah mereka yang kembali dari Sabah, kalau mereka bergejala, kita wajibkan mereka datang ke hospital untuk saringan dan ujian. Kalau tidak ada, kita menggalakkan mereka menjalani ujian COVID-19," katanya semasa sidang media di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu katanya, pengundian untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak dapat dilakukan di hospital memandangkan premis itu belum diwartakan sebagai pusat mengundi.
"Kalau kita nak laksanakan undi dalam hospital, hospital itu kena gazetkan atau wartakan dulu baru boleh laksanakan. Setakat ini hospital tidak diwartakan sebagai pusat mengundi.
"Jadi kita masih pantau kes tersebut. Contoh mereka di ICU (unit rawatan rapi) tidak boleh keluar untuk mengundi. Jadi kita tak benarkan mereka yang positif untuk mengundi," katanya.
Bagaimanapun ujarnya, mereka yang terdedah dengan kes positif masih diberi peluang untuk mengundi, namun tertakluk kepada pusat mengundi dan kebenaran pihak berwajib.
"Kalau dekat tiada masalah, kalau jauh atau naik kapal terbang akan ada isu. Kita tak tahu jumlah pusat mengundi ditetapkan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) namun apa nak kita lihat... kalau pusat mengundi dekat jadi boleh beri time off.
"Kalau tidak, ini satu kesalahan kalau tidak patuh SOP boleh dikompaun. Mereka kalau nak mengundi kena maklum Pejabat Kesihatan Daerah dan kita akan beri izin untuk mereka keluar mengundi iaitu memberi masa tertentu," ujarnya.
Sementara itu jelasnya, tiada kluster baharu melibatkan dua bank di Kepong dan Kota Damansara.
Katanya, kementeriannya ketika ini sedang melakukan siasatan berhubung kes di lokasi berkenaan.