Jalani saringan SPRM sebelum bertanding - Angkasa
Bernama
Mac 19, 2018 17:26 MYT
Mac 19, 2018 17:26 MYT
Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) mencadangkan agar individu yang ingin bertanding pada pemilihan anggota jawatankuasa koperasi dan anggota lembaga koperasi menjalani tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terlebih dahulu.
Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata cadangan tersebut sudah dinyatakan kepada SPRM dan dijangka akan dimulakan pada pemilihan tidak lama lagi.
"Ini adalah antara strategi yang dilaksanakan supaya pemimpin yang dipilih mempunyai tahap integriti yang tinggi dan supaya orang ramai menaruh kepercayaan tinggi kepada mereka," katanya selepas merasmikan Seminar Kepimpinan dan Integriti Koperasi Negeri Kelantan dan Ikrar Bebas Rasuah Angkasa di sini, hari ini.
Abdul Fattah berkata langkah itu dilihat perlu dilakukan kerana pihak Angkasa tidak mahu timbul masalah seterusnya yang menjejaskan imej koperasi.
"Kita amat menekankan soal ini kerana koperasi adalah satu instrumen yang diiktiraf oleh kerajaan dan sebelum ini Angkasa sudah ada unit intergriti dan kita (Angkasa) adalah antara 13 agensi yang mendapat pengiktirafan awal daripada segi integriti," katanya.
Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil dan Pengerusi Perhubungan Angkasa Kelantan Datuk Che Mohd Shukree Che Isa.
Sementara itu, Shamshun Baharin berkata SPRM menyambut baik cadangan supaya semua perwakilan bagi pemilihan jawatan dalam koperasi melalui proses tapisan terlebih dahulu.
"SPRM memang menggalakkan mana-mana entiti sekiranya mahu perkhidmatan tapisan demi menjaga keutuhan organisasi... dari segi lain ia antara perkara yang boleh diambil kira bagi kenaikan pangkat ataupun pemberian anugerah," katanya.
Shamshun Baharin berkata SPRM menerima sebanyak 156 maklumat berkaitan rasuah membabitkan koperasi sejak 2015 sehingga kini manakala 13 kertas siasatan sudah dibuka selain penahanan beberapa individu untuk tindakan lanjut.
Katanya walaupun statistik tidak banyak tetapi apa yang penting usaha pencegahan adalah lebih baik sebelum terlambat.
Beliau berkata sehingga kini terdapat sebanyak 1,500 entiti yang menjalani Ikrar Bebas Rasuah termasuk badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara.
-- BERNAMA