Jalan utama Institut Aminuddin Baki runtuh

Noraniza Kamsani
April 6, 2018 19:09 MYT
Bomba masih memantau kawasan berkenaan sekiranya berlaku runtuhan susulan serta mengenal pasti punca kejadian. - Foto Astro AWANI/Noraniza Kamsani
Jalan utama memasuki Institut Aminuddin Baki (IAB), Genting Highlands, di sini, runtuh sehingga mengakibatkan sebahagian jalan berkenaan terpaksa ditutup.
Difahamkan kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa dan pihak Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang memantau keadaan jalan berkenaan.
Menurut Timbalan Pengarah JBPM Pahang, Mohd Sani Harun, pihaknya masih memantau kawasan berkenaan sekiranya berlaku runtuhan susulan serta mengenal pasti punca kejadian.
"Pemeriksaan di kawasan kejadian mendapati berlaku tanah runtuh sepanjang kira-kira 50 meter.
"Kita sudah mengarahkan satu bangunan yang berada pada jarak 10 meter dari kawasan kejadian dikosongkan bagi mengelak sebarang risiko," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Katanya, tanah runtuh berkenaan tidak mengakibatkan sebarang kejadian tidak diingini dan laluan berkenaan tidak boleh dilalui serta ditutup untuk semua jenis kenderaan.
#Aminuddin Baki #bomba pahang #Genting Highlands #Institut Aminuddin Baki #isu semasa #Mohd Sani Harun #tanah runtuh
;