Jalan utama di ibu kota ditutup sempena sambutan Hari Kebangsaan
Bernama
Ogos 25, 2015 21:35 MYT
Ogos 25, 2015 21:35 MYT
Beberapa jalan utama di sekitar bandar raya ini akan ditutup secara berperingkat mulai esok sehingga Isnin untuk memberi laluan kepada raptai dan seterusnya sambutan Hari Kebangsaan 2015.
Sambutan akan diadakan di Dataran Merdeka. Ketua Trafik Kuala Lumpur, ACP Mohd Nadzri Hussain berkata jalan akan ditutup dari pukul 6 pagi.
Antara jalan yang terlibat ialah Jalan Travers/Jalan Damansara (Muzium Negara), Jalan Mahameru/Jalan Damansara (Carcosa), Jalan Mahameru/Jalan Damansara (Susur Muzium Negara), Bulatan Hishamuddin/Jalan Lembah (Masjid Negara), Jalan Perdana/Jalan Lembah, Jalan Kinabalu/Bulatan Hishamuddin (Dayabumi), Jalan Kinabalu/Jalan Hishamuddin (Susur Bukit Aman), Jalan Lembah/Jalan Cenderasari.
Peta yang menunjukkan jalan-jalan utama yang akan ditutup sempena sambutan Hari Kebangsaan 2015. - Sumber Foto: Bernama
Mohd Nadzri berkata hanya kenderaan yang memiliki pelekat kenderaan khas sahaja yang dibenarkan masuk ke Dataran Merdeka melalui Bulatan Dato Onn–Jalan Gereja dan kemudian diparkir di kawasan letak kereta di bawah Dataran Merdeka.