Jalan Temiang, Jalan Sikamat di Negeri Sembilan ditukar nama

Shuhada Abdul Kadir
Februari 15, 2023 18:57 MYT
Kerajaan Negeri Sembilan memberi penghormatan kepada Allahyarham Sheikh Mohd Murtadza Ahmad (kanan) dan mendiang Dr Che Man Hin dengan mengabadikan nama mereka masing-masing di Jalan Sikamat dan Jalan Temiang.
SEREMBAN: Dua nama jalan utama di Negeri Sembilan ditukar kepada nama dua tokoh yang banyak berjasa di negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, Jalan Sikamat ditukar menjadi Jalan Datuk Sheikh Mohd Murtadza Ahmad yang juga bekas Mufti Negeri Sembilan.
Sementara, Jalan Temiang ditukar menjadi Jalan Dr Chen Man Hin sebagai memperingati jasa mendiang yang merupakan pengasas yang kemudian menjadi pengerusi dan penasihat seumur hidup DAP ketika hayatnya.
“Mesyuarat Exco kerajaan negeri telah berbincang dan meluluskan cadangan ini sebagai penghormatan kepada dua tokoh terkenal ini.
“Mendiang Dr Chen Man Hin adalah tokoh politik terkenal, manakala Allahyarham Sheikh Mohd Murtadza adalah bekas Mufti Negeri Sembilan dan cadangan ini juga telah dikemukakan kepada Majlis Bandaraya Seremban,” kata beliau, di sini, hari ini.
Allahyarham Sheikh Mohd Murtadza memegang jawatan Mufti Negeri Sembilan antara 1987 sehingga 2008 sebelum ini menghembuskan nafas terakhir pada 2017.
Antara jasa Allahyarham termasuk mewujudkan Enakmen Murtad pada 2004 dan Enakmen Kawalan Tarekat pada 2007 yang menjadikan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan sebagai negeri yang pertama mewujudkan kedua-dua enakmen ini yang turut menjadi contoh kepada negeri lain.
Mendiang Man Hin pula merupakan pengasas parti DAP yang meninggal dunia di kediamannya di Seremban, Negeri Sembilan, Ogos tahun lalu pada usia 97 tahun.
Man Hin yang juga penasihat seumur hidup DAP merupakan bekas Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri.
#Jalan Sikamat #Jalan Temiang #Jalan Datuk Sheikh Mohd Murtadza Ahmad #Jalan Dr Chen Man Hin
;