Jalan TAR jadi tumpuan, orang ramai ambil kesempatan hujung minggu buat persiapan raya

Eton Khir
April 24, 2022 18:24 MYT
Pusat membeli-belah di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur semakin sesak dibanjiri orang ramai untuk tujuan persiapan menjelang sambutan Aidilfitri. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR : Pusat membeli-belah di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur semakin sesak dibanjiri orang ramai untuk tujuan persiapan menjelang sambutan Aidilfitri.
Tinjauan Astro AWANI mendapati, berbaki lapan hari lagi, orang ramai mengambil peluang memanfaatkan cuti hujung minggu mereka bagi membeli barangan keperluan bagi menambahkan lagi suasana meriah menjelang perayaan itu yang akan disambut pada 3 Mei ini.
Beberapa jalan utama menuju pusat belah-belah di sekitar bandar raya ini juga mengalami kesesakan khususnya di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Sultan Sulaiman, Jalan Raja Laut, Jalan Bunus, dan Jalan Dang Wangi.
Walau bagaimanapun terdapat beberapa pegawai dan anggota penguat kuasa membabitkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mengawal keselamatan di kawasan terbabit.
Di samping itu, pengunjung yang datang dilihat teruja berbelanja kerana dapat meraikan perayaan itu bersama keluarga dan sanak saudara.
Bagi David Syamsul Mohd Zawawi, 37, dia datang ke Jalan Tuanku Abdul Rahman sekitar jam 10 pagi untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.
"Saya datang dari Pulang Pinang untuk membeli barang keperluan Aidilfitri. Sampai ke sini (Jalan Tuanku Abdul Rahman) sekitar jam 10 pagi. Datang awal agar tidak tergesa-gesa mencari barang keperluan.
"Lebih lagi, kita situasi membeli-belah agak sesak di Jalan TAR ini kerana ada ramai orang," katanya yang bekerja sebagai pengusaha hotel.
Manakala, seorang lagi pengunjung yang juga seorang peniaga atas talian, Azreen Sahrudin, 33, dia memilih untuk membeli-belah bersama keluarga di Jalan TAR kerana terdapat banyak pilihan keperluan Aidilfitri di kawasan itu.
"Hari ini patutnya dah pulang ke kampung tetapi ambil masa cuti di hujung minggu ini beli mana-mana keperluan yang tidak lengkap lagi.
"Lagipun, dah dua tahun tidak dapat datang kerana Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP), jadi apabila dah bebas ini, mudah untuk saya beli barang-barang keperluan. Membeli belah di Jalan TAR ini mudah. Segala apa yang diperlukan ada. Malahan dahulu, setiap tahun sebelum (PKP) memang sering datang ke sini," katanya.
Dalam pada itu, seorang peniaga kuih raya, Zolkarnain Che Ama, 63, turut mengambil peluang untuk mencari barang keperluan barangan Aidilfitri meskipun sibuk dalam menjalankan perniagaannya di Jalan TAR.
Katanya lagi, dia turut menzahirkan rasa syukur kerana gerai jualannya mendapat sambutan orang ramai sekali gus dapat menjana pendapatannya.
"Sebagai peniaga di Jalan TAR ini, meskipun kini sedang rancak dalam perniagaan namun saya mengambil peluang sedikit sebanyak untuk membeli belah sepasang dua untuk persiapan Aidilfitri pada kali ini.
"Dari segi kesesakan itu, saya lihat dengan berbaki lapan hari lagi ini, memang Jalan TAR ini penuh sesak dengan orang ramai.
"Di samping itu, saya juga bersyukur apabila jualan biskut raya saya masih mendapat sambutan meskipun hampir dua tahun kita kita dalam fasa pandemik.
"Alhamdulillah, syukur ditambah lagi kini, pintu sempadan telah dibuka, ada daripada Sabah dan Sarawak yang mana pelanggan-pelanggan lama datang ke gerai saya," katanya. lagi
#Aidilfitri #PKP #Astro Awani #jalan tar #persiapan Raya
;