Jalan TAR dibuka semula untuk pejalan kaki selepas 3 jam ditutup
Fareez Azman
Januari 22, 2022 11:23 MYT
Januari 22, 2022 11:23 MYT
KUALA LUMPUR: Tepat jam 10.53 pagi, kesemua pekerja dan peniaga di Jalan Tunku Abdul Rahman dibenarkan masuk semula ke kawasan itu selepas hampir tiga jam jalan itu ditutup.
Tinjauan Astro AWANI mendapati rata-rata pekerja kecewa dan mengeluh kerana tidak dibenarkan memasuki kawasan berkenaan pagi tadi.
Ada juga di antara pekerja yang dilihat pulang selepas penat menunggu lama.
Menurut penjual barangan kulit Ros Rara Anuar, 47, dia keliru selepas tidak dibenarkan melalui jalan itu untuk ke tempat kerja.
“Saya sampai jam 8 pagi tadi, tapi tidak dibenarkan masuk. Jadi kami tunggulah tersadai dekat sini,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Syamsul Husain, 33, pekerja pramusaji di Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur turut meluahkan rasa kecewa.
Dia terpaksa berjalan kaki beberapa kilometer selepas pengangkutan awam tidak beroperasi sepertimana dimaklumkan pihak berkuasa semalam.
“Saya berjalan kaki dari Pasar Seni ke sini (Maju Junction).
“Kenapa tutup pengangkutan awam, sebab yang gunakan pengangkutan awam banyak pekerja swasta yang tiada kenderaan,” katanya lagi.
Penutupan jalan dan operasi pengangkutan awam itu dibuat susulan perhimpunan yang dijadual diadakan oleh pihak tertentu pagi ini bagi mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki meletakkan jawatan.
#Azam Baki
#penutupan jalan
#penghentian sementara operasi pengangkutan awam
#Jalan Tunku Abdul Rahman