Jalan Semangat diganti dengan Jalan Profesor Khoo Kay Kim

Astro Awani
Julai 4, 2019 18:54 MYT
Sumbangan besar mendiang Khoo Kay Kim diabadikan pada nama jalan di Petaling Jaya, Selangor.
SEBAGAI mengenang sumbangan besar mendiang Profesor Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, kerajaan negeri Selangor mengabadikan tokoh sejarawan dan akademik itu pada nama jalan.
Jalan Semangat di Petaling Jaya akan ditukar kepada Jalan Profesor Khoo Kay Kim selepas mendapat perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Perubahan nama itu diumumkan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dalam kenyataan media yang diedarkan pada Khamis.
“Sebagai seorang sarjana sejarah, sumbangan besar mendiang adalah dalam pembentukan sejarah Malaysia pada abad ke-19 dengan karya-karya utama mendiang telah menjadi kanon dalam penulisan sejarah Malaysia.
“Di samping tugasnya sebagai sarjana di Universiti Malaya (UM), mendiang juga adalah seorang intelektual awam yang terlibat aktif memberikan pandangan tentang politik dan isu-isu berkaitan pembinaan negara bangsa serta bidang yang sangat diminatinya iaitu sukan bola sepak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kay Kim, tokoh sejarah yang dihormati itu meninggal dunia meninggal dunia akibat masalah paru-paru di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 28 Mei lalu.
Mendiang yang berusia 82 tahun merupakan seorang penerima Anugerah Merdeka 2018 berprestij dalam kategori pencapaian skolastik cemerlang kerana sumbangan gemilangnya terhadap penyelidikan sarjana, penyusunan interpretasi semula sejarah Malaysia dan dedikasi sepanjang hayat dalam pendidikan sejarah.
Sumbangan besar mendiang dalam sejarah negara amat besar khususnya membantu kerajaan merangka Rukun Negara yang bertujuan membantu mengembalikan keamanan dan keharmonian negara selepas peristiwa hitan 13 Mei 1969.
BACA: 'Seperti mana kehidupannya, pemergiannya juga penuh bermaruah' - Isteri Khoo Kay Kim
#Jalan Profesor Khoo Kay Kim #Jalan Semangat #nama jalan #Petaling Jaya
;