Jalan raya utama digenangi limpahan air laut akibat fenomena air pasang besar

Sinar Harian
Oktober 8, 2021 11:31 MYT
Video tular limpahan air pasang besar di Jalan Persekutuan, Pekan Tanjong Karang pada Jumaat. -Foto Sinar Harian
TANJONG KARANG: Fenomena air pasang besar mengakibatkan Jalan Persekutuan di Pekan Tanjong Karang dilimpahi air pada pagi Jumaat.
Rakaman tular berdurasi 33 saat di Facebook menunjukkan kegiatan seharian penduduk tidak terganggu meskipun air laut melimpah sehingga ke jalan raya.
Menerusi video itu dapat dilihat keadaan limpahan air pasang besar masih dalam keadaan terkawal dan tidak berbahaya.
Dalam video yang tular itu juga terpapar rakaman seorang penunggang terpaksa menyorong motosikalnya meredah limpahan air laut.
Bagaimanapun, beberapa kenderaan lain seperti kereta, pacuan empat roda dan van meneruskan perjalanan seperti biasa.
Kejadian limpahan air laut dari pantai berhampiran akibat air pasang besar dipercayai berlaku hampir setiap tahun, bagaimanapun tidak membahayakan.
Saliran longkang yang penuh tidak mampu menampung lebihan air menjadi punca limpahan air ke jalan raya.
Seorang pemilik akaun Facebook menggunakan nama, Haji Papan Lapis menasihatkan pengguna jalan raya supaya menangguhkan perjalanan sementara menunggu air surut yang dijangka pada tengah hari Jumaat.
"Jangan paksa redah air pasang besar (bimbang) kereta rosak yang menyebabkan kos lain untuk baik pulih," katanya menerusi ruangan komen video terbabit.
*Berita asal di Sinar Harian
#air pasang besar #Tanjong Karang #limpahan air laut #sorong motosikal
;